ADAT & ADAB Oleh AZLAN GHANIE
Dalam silat ada adat dan adabnya, dan ia melambangkan budaya adab tradisi sesebuah bangsa yang bertamadun.
Adat membawa erti ‘cara’ atau ‘kebiasaannya’ manakala adab pula melambangkan ‘perbuatan’ atau ‘disiplin’. Sebagai contoh, adat bangsa Melayu makan nasi atau mengambil makanan dengan adab tangan kanan. Begitu juga dengan adat keluar rumah, turut dengan adab melangkah kaki kanan.
Begitulah cara bersilat untuk mengenali asal sebenarnya. Adat hendak bersilat, dengan mulanya, bertangan kanan mendahului dan langkah kaki kanan menyusul. Ia secara tidak langsung, tanpa bicara lagi, gerak langkah identiti Silat Melayu.
Begitu juga dengan identitinya silat-silat Melayu lama yang antaranya tidak menendang melepasi pusat, tidak berkasar, tidak melangkah kawan dan tetap menghormati musuh.
Dalam berpakaian, sebagai contoh, persilatan dari asal perguruan Malaysia memakai seragam hitam. Ia telah menjadi adat dan sebagai lambang warna diri yang taat kepada Raja-raja Melayu.
Ada enam warna lambang Melayu iaitu kuning, putih, merah, biru dan hijau selain hitam. Kuning simbol Raja, putih kepada kelahiran/kematian, merah lambang keberanian, biru perpaduan dan hijau pula kedamaian.
Jika bersenjata seperti keris, sebaiknya bersamping dan bersetanjak sebagai pelengkap diri dalam berpakaian pahlawan. Begitu juga dalam berpakaian baju Melayu, perlu bersamping dan bersongkok.
Pesilat Johor mungkin dikenali berpakaian baju teluk belanga. Jika berpakaian baju Melayu, mereka turut memakai baju teluk belanga dan seluar berwarna lain. Manakala samping berada dalam baju Melayu. Itu perbezaan mereka dengan negeri-negeri lain.
Adat berpakaian samping pula, ada negeri, samping untuk yang bergelar Datuk ada corak bunga tersendiri. Orang dahulu memberitahu secara ‘gambaran’, jika bawah samping atas lutut bermakna dia belum berkahwin. Jika bawah samping melepasi lutut, dia sudah berkahwin. Makin ke bawah samping itu ‘diberitahu’ uisa dan ilmu mereka.
Jika belakang samping ke sebelah kanan atau kiri ikatannya, lelaki itu memberitahu dia duda dan jika bawah samping atas lutut erti “duda minta di pinang segera”. Begitu juga dengan wanita yang berpakaian Melayu.
Jika memakai destar atau tanjak, pastikan tiada ‘ekor’ berdiri belakang destar itu. Hanya Sultan sahaja berimej demikian. Begitu juga jika membuat atau memakai destar Dendam Tak Sudah, hanya Sultan menghalakan hujungnya ke kanan.
Dalam memakai selempang, sebaik-baiknya sebelah kanan bahu kerana hanya Raja-raja Melayu sebelah kiri.
Jika mengadakan persembahan bersenjata, pastikan jarak dengan penonton terutama Raja atau pembesar ada jarak dan kedudukannya. Mata keris sama sekali ditegah menghala Raja dan pembesar.
Memberi sembah atau hormat amat penting. Pastikan pergerakan atau perbuatan pesilat  tidak mengikuti budaya bukan Melayu.
Masuk gelanggang Sebelum menyertai mana-mana perguruan samada silat atau bukan silat, pastikan dahulu diketahui akan asal-usul perguruan itu supaya tidak menyesal kemudian hari. Jika ada perguruan mengadakan Hari Pengambilan atau Hari Pendaftaran untuk ahli baru, atau menganjurkan seminar perguruan itu, sebaik-baiknya sertailah dan dapat gambaran jelas dari penerangan perguruan itu sebelum membuat keputusan. Ada panduan diberikan oleh guru tua kepada bakal pesilat sebelum menuntut ilmu pendekar untuk renungan dan penghayatan iaitu antaranya mengetahui keturunan diri dari tok empat, lapan moyang.  Atau dapatkan nasihat dan restu ibubapa. Beberapa panduan dalam menuntut dengan melihat adat dan adabnya perguruan itu, sepertimana diketahui silat boleh dipelajari semua bangsa dan agama kerana tidak bercanggah dengan Islam. Silat adalah budaya adab Melayu dalam adat beladiri. Boleh juga rujuk panduan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Dalam gelanggang Pakaian perlu bersih dan sesuai untuk menjalani latihan. Begitu juga dengan diri perlu dalam berkeadaan siap sedia untuk berlatih. Beri hormat seperti salam atau salam hormat kepada yang hadir dalam gelanggang. Sebaik-baiknya bersalam atau memberi salam hormat kepada guru terlebih dahulu. Begitu juga apabila tamat latihan. Bila dalam gelanggang, sebaik-baiknya memberi tumpuan dan jangan bercakap-cakap hingga menganggu tumpuan guru yang mengajar dan rakan-rakan yang hadir. Jaga sebutan percakapan dan pergerakan supaya tidak nampak sikap angkuh. Jika hendak minum air atau ke bilik air, pastikan minta kebenaran terlebih dahulu.
Luar gelanggang Sebaik-baiknya, apa yang dilatih mengenai sikap dalam gelanggang wajar sekali diamalkan di luar gelanggang sebagai adab atau disiplin amalan hidup.  Sikap hormat, sabar, tenang dan berakal wajar dipraktiskan supaya dapat berdepan dengan pelbagai karenah dunia. Setiap langkah yang dipelajari dalam gelanggang adalah langkah kemenangan yang wajar dikecapi di luar gelanggang. Dalam menjaga penampilan diri di luar gelanggang, perbuatan yang ditonjolkan adalah mengenai maruah diri. Penampilan yang berilmu dan tidak berilmu tetap ada bezanya dan diharapkan setiap pesilat bersikap dahagakan ilmu supaya maruah diri dapat dipelihara. Di bawah adalah Panduan Tatatertib Di Majlis Rasmi istana yang boleh dijadikan panduan dalam penampilan diri kerana asal adat dan adab silat dari situ jua.
PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI Untuk menjaga ketenteraman dan kelancaran serta ‘dignity’ sesuatu majlis yang memperlihatkan keterampilan anggotanya (termasuk tetamu dan perwakilan maka beberapa peraturan dan perilakuan telah diterima sebagai perilakuan yang sesuai dalam majlis rasmi di peringkat masyarakat, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Adapun kesopanan yang dianggap sesuai ialah bagi masyarakat kita yang tidak bercanggah dengan hukum dan peraturan Islam. Sekiranya bercanggah ia bolehlah di ketepikan. Agama Islam juga menuntut supaya kita bersopan santun berbudi bahasa dan berhikmah dalam perkataan atau percakapan. Antara perinsip yang selaras dengan Islam ialah tidak bermegah, bersikap sederhana dan tidak membazir.
PAKAIAN & ADAT DALAM MAJLIS Pakailah pakaian yang bersih dan betul mengikut yang diterangkan dalam jemputan. Yang tidak mematuhi peraturan pakaian mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam majlis. Jika pakaian majlis adalah pakaian kebangsaan bersongkok, maka songkok yang sesuai adalah dari baldu hitam atau biru gelap tanpa corak. Songkok hendaklah dipakai tegak, tidak senget ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang hingga nampak gigi rambut atau bertenggek kerana terlalu kecil atau bolos kerana terlalu besar. Sampin hendaklah sederhana labuh kira-kira di paras lutut. Lengan baju dilabuhkan dan tidak tersinsing. Demikian juga seluar yang mengheret ke tanah mahupun tersinsing. Baju dan seluar hendaklah sepasang sama jenis kainnya dan berkasut. Wanita Melayu, pakaian rasmi Melayu adalah baju kurung atau kebaya labuh, atau baju kurung fesyen yang memenuhi peraturan jemputan, dan tidak terdedah kerana terbuka (termasuk di bahu, belakang atau perut) atau kerana jenis kain yang jarang. Butang leher hendaklah dilekatkan. Seluar tidak dibenarkan. Hendaklah berkasut (bukan sandal atau selipar yang terbuka di belakang), berselendang sama ada diletak di bahu atau bertudung (mini telekong). Jangan meninggalkan tempat duduk, bercakap-cakap, bersila panggung, kaki diatas kaki, batuk-batuk, ketawa atau berdehem dengan sengaja. Semasa duduk dan berdiri perlu rapatkan kaki. Jangan menggoyang-goyangkan kaki. Semasa berdiri tempatkan tangan ditepi dan jangan digoyang-goyangkan. Jangan memakai cermin mata hitam dan melengak ke atas kerana ia di anggap kurang manis. Jangan memakai emas perhiasan berlebihan bagi laki-laki dan juga perempuan. Jangan merokok. Elak ketawa dengan kuat atau bising atau tidur. Gunakan perkataan yang baik bila perlu bercakap dan tidak terlalu kuat, (Contoh: Sebutan “awak”, “aku”, “kawan” sebagai gantinama tidak sesuai diucapkan, juga dianggap bukan bahasa majlis di Negeri Pahang.) Menjaga kebersihan diri, rambut, muka (termasuk misai, janggut dan jambang diharapkan dicukur licin atau dikawal kerapian), pakaian, bau badan dan mulut tanpa wangian yang berlebihan. Makanlah sedikit sebelum menghadiri majlis supaya tidak ketara bau mulut, Sebaik-baiknya, pakai bau-bauan atau pewangi atau penahan peluh di celah lengan supaya bau badan terkawal semasa berpeluh. Berjalan dengan tegak dan tenang, tidak terburu-buru dan memandang ke kiri dan kanan. Adab dalam jamuan. Di samping menyebut Bismillah (bagi beragama Islam), jagalah adab makan yang baik, termasuk menggunakan pisau di tangan kanan dan garpu di tangan kiri atau sudu di kanan dan garpu di kiri (jika berkaitan). Jika pisau dan garpu turut dibekalkan, hanya sudu yang masuk ke mulut dan tidak garpu. Jangan mengambil lauk dengan sudu makan sendiri, gunakan sudu dalam pinggan atau mangkuk lauk. Jangan makan dengan bising, mengunyah dengan mulut terbuka atau bercakap dengan kuat atau ketawa terbahak atau terbelahak atau tersedak kuat. Berhati-hatilah. Letakkan napkin di atas riba dan letakkan semula di kiri pinggan dengan berlipat sesudah makan. Mulalah makan bersama-sama dan berhentilah makan apabila orang lain sudah selesai makan. Jangan mencungkil gigi di hadapan majlis. Kalau ada sesuatu dalam mulut yang perlu dikeluarkan, keluarkan dengan ditutup dengan napkin. Bagi majlis makan beradat ada peraturan-peraturan tertentu.
PANDUAN PENGGUNAAN BAHASA DI HADAPAN RAJA
Bahasa biasa              /            Bahasa kepada Raja
Anggota tubuh badan Muka                                        wajah Rambut                                    Surai Telinga                                    Cuping Tangan                                    Kadam Kaki                                         Duli
Perbuatan Mandi                                           Bersiram Ke Tandas                                    Ke bilik air Makan                                          Santap Buang air(kecil/besar)                    Ke sungai (kecil/besar)                                     Berjalan/Pergi                                Berangkat Minum/makan                                Santap Bercakap                                       Titah Berucap                                         Bertitah Memberi ucapan                             Menyampaikan titah ucapan Tidur                                               Beradu Memberi                                        Mengurniakan Bersetuju/mendapat                        Mendapat perkenan Persetujuan                                    Mendapat limpah berkenan Panggil                                            Titah panggil Marah                                                Murka Meninggal dunia                                  Mangkat Allahyarham (Raja)                              Almarhum Allahyarham (prm)                               Almarhumah Arwah (kerabat)                                     Selilah Bercukur/gunting rambut (istiadat)               Berandam Surai             
Bahasa mengenai kita dihadapan Raja Makan                                                Ayab Tak tahu                                    Kurang periksa (mohon periksa) Anak                                                Pacal Saya                                                 Patik Orang itu                                    Pacal itu (nama) Encik/Dato  (gelaran)                      Pacal Tua (nama) Rumah (saya)                                    Pondok (patik) Menyatakan(memaklumkan)                  Menyembahkan (sembah maklum) Hadiah                                                Persembahan Terima Kasih                                    Junjung kasih Berucap                                    Persembahan ucapan Hadir                                           Berangkat mencemar duli (kecuali majlis beribadat) Menjemput                                    Menyilakan Jemputlah                                    Sila Berjumpa (tuanku)                        Mengadap Tuanku/ Tuanku                                    Kebawah Duli Tuanku Anakanda (Tengku Mahkota)         Paduka Anakanda TM Sultan (kepada Anak Raja)                Seri Paduka Ayahanda Tengku Ampuan/ Raja Perempuan                       Seri Paduka Bonda
Perkataan ‘Beta’ digunakan oleh Raja sebagai gantinama ‘Saya’ dalam ucapan resmi. Selain daripada bahasa di atas panduannya ialah supaya digunakan bahasa resmi atau bahasa surat yang terbaik, halus dan sopan. Sebelum memulakan ucapan sebutkan ‘Ampun Tuanku’ atau ‘Minta ampun’ diikuti dengan apa yang hendak diperkatakan. Semasa mula berbicara angkat tangan menyembah, baharu diteruskan berucap. Begitu juga, setiap pergerakan untuk bangun duduk atau beredar hendaklah didahului dengan mengangkat sembah.
Ucapan di majlis rasmi dimulakan dengan ungkapan ‘Mengadap KDYMM Sultan Pahang (nama dan diakhiri dengan D.K.P.) dan seterusnya KDYTM Tengku Mahkota, KDYTM Tengku Puan hingga YAM Tengku Muda Pahang dan YABhg. Cik Puan Muda Pahang, di ikuti dengan, ‘Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah patik harap diampun’.  Teruskan ucapan khusus untuk mengalu-alukan Raja dan pengiring Baginda i.e. KDYTM dan YAM. Kemudian ucapkan ‘Ampun Tuanku, patik mohon limpah perkenan KDYMM Tuanku bagi patik berucap sepatah dua kepada dif-dif dan para hadirin sekelian’ (atau seumpamanya.) Setelah itu baharulah disebut nama dif-dif yang lain mengikut susunan dam memberi ucapan umum. Di akhir ucapan mohon semula seperti‘Demikianlah persembahan ucapan patik… ampun Tuanku beribu ampun sembah patik mohon (harap) diampun.’ (Salam)
Gelaran khusus bagi Negeri Pahang. (Gelaran-gelaran ini tidak boleh diubahsuai) kecuali ada arahan KDYMM Sultan atau Kerajaan, dimana berkaitan)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) (untuk Sultan) Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsum (untuk Sultanah) Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Mahkota, Pahang) Kebawah Duli yang Teramat Mulia (KDYTM) (bagi Tengku Puan Pahang) Yang Amat Mulia (YAM) (bagi Tengku Muda dan semua Kerabat Bergelar) Yang Amat Berbahagia (YABhg) (bagi isteri Kerabat Bergelar) Yang Amat Berhomat (YAB) (bagi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar) Yang Di Hormat (bagi Orang Besar Berempat i.e. Orang Kaya) Yang Mulia (bagi Kerabat i.e. Tengku, Engku) Yang Berhormat (bagi Timbalan Menteri Besar, Ahli Dewan Negeri dan Parlimen) Yang Hormat (bagi Orang Besar 8, 16 dan Dato’ – dato’) Yang Berbahagia (bagi isteri-isteri kenamaan secara umum) Sahibul Samahah (bagi Mufti) Sahibul Fadilah (bagi Kadi Besar / Timbalan Mufti) Al Fadzil (bagi Pegawai Agama Islam Daerah @ Pegawai Agama) Bagi gelaran di negeri lain atau yang melibatkan orang kenamaan negeri lain makluman gelaran khusus hendaklah diperolehi, kerana ia berbeza-beza antara negeri. Senarai Kerabat Bergelar dan Orang-orang Besar Negeri (Jadual 29 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang)
KDYTM                               Tengku Mahkota YAM                                    Tengku Muda YAM                                    Tengku Arif Bendahara YAM                                    Tengku Arif Temenggong YAM                                    Tengku Puteri Lela Wangsa YAM                                    Tengku Besar YAM                                    Tengku Seri Nila Utama YAM                                    Tengku Puteri Seri Teja YAM                                    Tengku Puteri Seri Kemala YAM                                     Tengku Puteri Seri Manja YAM                                    Tengku Puteri Seri Bongsu YAM                                    Tengku Panglima Perang YAM                                     Tengku Panglima Besar
Orang Besar Berempat
YDH                        Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai YDH                        Orang Kaya Indera Syahbandar YDH                        Orang Kaya Indera Segara YDH                        Orang Kaya Indera Pahlawan
Orang Besar Berlapan
YH Dato’ Setia Muda YH Dato’ Setia Lela YH Dato’ Setia Perkasa YH Dato’ Setia Pahlawan YH Dato’ Setia Raja YH Dato’ Setia Wangsa YH Dato’ Setia Amar Segara YH Dato’ Setia Penggawa                          
Orang Besar Enambelas Tok Muda
Orang Besar Raja/Orang Besar Istana
YM Tengku (Dato’) Setia Jaya YH Tok Pentara Raja YH Tok Aria Rakna YH Penghulu Balai YH Panglima Dalam YH Tok Bijaya DiRaja YH Tok Luar Bentara Kiri Bentara Kanan

PANDUAN TATATERTIB DI MAJLIS RASMI Ehsan dari YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan Orang Kaya Indera Pahlawan Timbalan Yang Dipetua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang
 sumber:
http://zainamy.multiply.com/journal/item/71
Hit: 0 Laman Asal