Syeikh Hamzah al-Fansuri atau lebih dikenali dengan nama Hamzah Fansuri ialah seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara. Pada tahun 1926, Francois Valentjin dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindi Timur Lama dan Baharu) dalam bab berkaitan Sumatera, telah menyebut bahawa Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur  Perkataan Fansur diberikan oleh para pedagang Arab, sebagai pengganti kepada perkataan Barus. Bukti yang menunjukkan berkaitan tempat kelahiran Hamzah Fansuri ini dapat dilihat melalui syairnya iaitu :
Hamzah nin asalnya Fansuri Mendapat wujud di tanah Shahrnawi Beroleh khilafat ilmu yang ‘ali Daripada ‘Abd al-Qadir Jilan Menurut para ulama, penyebutan nama kota kelahiran di belakang namanya adalah merupakan sesuatu yang lazim bagi menunjukkan identiti dirinya. Contohnya al-Ghazali, al-Baghdadi, al-Bisthami, al-Jawi, al-Makassari, dan juga al-Palembani. Ibu bapa Hamzah telah meninggal dunia ketika Hamzah masih kecil. Suasana dan keadaan ini telah mendorong Hamzah hidup terpencil dan berdagang atau menggembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain. Sewaktu pengembaraan dan berdagang itu, pelbagai sumber telah menyebut bahawa Hamzah Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu dalam masa yang agak lama. Selain menimba ilmu di Acheh, Hamzah juga telah mengembara ke pelbagai tempat di antaranya, Banten (Jawa Barat). Menurut sumber lain turut menyatakan bahawa Hmazah pernah mengembara ke seluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Menurut Muhammad Naquib a-Attas, Hamzah dikatakan meninggal dunia pada tahun 1607, manakala menurut L.F Brakel pula mengatakan Hamzah masih hidup sehingga 1620. Menurut Winstead pula, Hamzah dikatakan telah meninggal dunia pada tahun 1630. Terdapat tokoh yang memperdebatkan berkaitan tarikh kematian Hamzah dan hal ini dapat dilihat melalui perdebatan yang berlaku yang menyatakan Aceh sebelum diperintah oleh Sultan Iskandar Muda , Aceh telah berada di bawah pemerintahan Sultan Ala al-Din Ria’yat Shah al-Mukammil iaitu pada tahun (1571–1606). Bukti yang menunjukkan kesahihahan Hamzah hidup pada zaman pemerintahan al-Mukammil ini dapat dilihat pada syairnya yang berjudul Ikatan-ikatan ‘Ilm al-Nisa’ : Hamba mengikat syair ini Di bawah hadharat radja jang wali Karuni Allah akan toehan kami...
Hamzah Fansuri merupakan seorang penyair yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi. Dikatakan juga bahawa Hamzah sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Hamzah Fansuri dikatakan mula belajar agama di tempat kelahirannya iaitu Barus, sebuah tempat yang ramai dengan para pedagang Islam dari Arab, Persia, dan India dan dipercayai bahawa telah wujud sekolah pendidikan agama di sana. Hamzah Fansuri adalah pengembang Tarekat Wujudiyah. Tarekat Wujudiyah merupakan fahaman yang beranggapan bahawa segala makhluk itu pada asasnya esa, kerana wujud zat daripada Allah S.W.T. Dalam hujahnya menerusi kitab-kitab ini. Dapat dikesan bahawa Hamzah terpengaruh dengan fahaman Ibn Arabi, ahli tasawuf yang mahsyur pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13. Antara contoh  karya Hamzah Fansuri ialah:

1.      Asrar al-Arifin ( Rahsia Orang yang Bijaksana ) 2.      Sharab al-Asyikin ( Minuman Segala Orang yang Berahi ) 3.      Zinat al-Muhawidin ( Perhiasan sekalian orang yang mengesakan ) 4.      Syair Si Burung Pingai 5.      Syair Si Burung Pungguk 6.      Syair Sidang Fakir 7.      Syair Dagang 8.      Syair Perahu
Hamzah merupakan penyair Melayu pertama yang mengubah syair-syair bersifat agama. Syair-syairnya dianggap sebagai syair Melayu pertama yang ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu sajak empat baris dengan pola bunyi akhir “aaaa” pada setiap barisnya. Hamzah merupakan pengarang pertama yang mencatat nama pengarang iaitu mencatat namanya sendiri di rangkap akhir karyanya. Teknik yang digunakan Hamzah merupakan teknik daripada pengaruh qasidah dan juga ghazal. Hamzah juga merupakan pengarang pertama yang memperkenalkan mukadimah dalam karya-karya ilmiah. Sumbangannya sangat besar  bagi perkembangan kebudayaan di nusantara, khususnya dalam bidang kerohanian, keilmuan, falsafah, bahasa dan sastera. Dalam bidang keilmuan, Hamzah telah mempelopori penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bercorak mistik dan bersifat ilmiah. Hamzah merupakan pengasas kepada penulisan sastera sufi atau mistik dan berpegang kuat kepada aliran Wahdatul Wujud. Dalam bidang sastera, Hamzah mempelopori pula penulisan puisi-puisi Islam bercorak kesufian, mistik, metafizik dan pembicaraan  terhadap hubungan insan dengan penciptanya dan keseluruhannya. Kedalaman kandungan puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair lain yang sezaman atau selepasnya. Dalam kesusasteraan pula, Hamzah ialah orang pertama yang memperkenalkan syair dan puisi empat baris dengan skema sajak akhir “aaa” seperti sebelumnya. Jika dilihat dari struktur puisinya, syair yang diperkenalkan oleh Hamzah seolah-olah merupakan perpaduan antara sajak Parsi dengan pantun Melayu. Hamzah banyak menghasilkan menghasilkan karya berbentuk prosa dan puisi. Contoh karya dalam bentuk prosa ialah Asrarul Ariffin, Syarab al Asyikin dan Al-Muhtahi. Kitab Syarab al Asyikin merupakan kitab tasawuf yang pertama ditulis dalam bahasa Melayu yang membicarakan syariat, tarekat, hakikat, makrifat dan zat tuhan. Sementara kitab Asrarul Ariffin merupakan sebuah kitab tasawuf yang membicarakan tentang akidah menurut aliran Wahdatul Wujud. Antara contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama dan tasawuf ialah syair Perahu, syair Dagang, syair Burung Pingai, dan syair Sidang Fakir. Karya-karya syairnya tergolong dalam karya falsafah dan metafizika atau mistik iaitu membicarakan tentang kewujudan Tuhan dan hubungannya di antara manusia dengan Tuhan. Hamzah juga turut memberi sumbangan dalam bidang bahasa iaitu sebagai penulis pertama kitab keilmuan dalam bahasa Melayu malah Hamzah berjaya mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa intelektual dan ekspresi keilmuan yang hebat





Bibliografi
Drs. M. Afif Anshori, MA. 2004. Tasawuf Falsafi Syeikh Hamzah Fansuri. Yogyakarta: Gelombang Pasang
Hashim Awang. 2003. Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden : esei kritikn. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhd Mansur Abdullah. 1998. Pengantar Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur:Nurin Enterprise
Siti Aishah Murad, Hamzah Hamdani. 2004. Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940).Kuala Lumpur:Universiti Kebangsaan Malaysia
Siti Hawa Saleh. 1987. Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional. KualaLumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Syed Muhammad Naguib al-Attas.1970. The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur:Universiti Malaya Press
http://Syairfansuri.blogspot.com http://yayasankaryawan.com/index,php?option=com_content&task=view&id=6&itemid=1
Hit: 0 Laman Asal