Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum w.b.t

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan keizinan-Nya, maka kita dapat sekali lagi bertemu dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-15 ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua AJK PIBG yang telah sama-sama bekerja dan berusaha membantu pihak sekolah dalam pelbagai program. Saya mewakili semua AJK PIBG akan terus menyokong segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi memacu kecemerlangan pelajar. Saya juga berharap dalam pertemuan seperti ini kita dapat bersama-sama menyumbang idea untuk memantapkan lagi aktiviti-aktiviti PIBG sekolah ini.

Kami AJK PIBG sesi 2008/2009 telah cuba untuk menjalankan tugas kami dengan cara yang terbaik. Didalam segala tindakan kami, kami sentiasa memikirkan kepentingan dan kebajikan anak-anak kita di sekolah ini khasnya. Sumbangan tuan/puan telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu program-program sekolah bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan dan sahsiah anak-anak kita di sekolah ini. Tuan/puan bolehlah melihat buku aturcara mesyuarat agung kali ini dimana terdapat di dalamnya mengenai aktiviti PIBG dan juga sumbangan PIBG kepada sekolah.

Pada sesi 2008 / 2009 ini, PIBG telah meneruskan kesinambungan aktiviti untuk kecemerlangan pelajar seperti mengadakan beberapa siri kelas tambahan bagi kelas-kelas peperiksaan yang diberi nama `Perkampungan Ilmu’ pada cuti semester yang lalu. Selain itu, PIBG juga membantu memberi sumbangan kepada pakar motivasi yang telah memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar kelas peperiksaan. Bagi melancarkan program pelajar pendidikan khas pula, PIBG turut sama menyumbang untuk majlis pelancaran pusat aktiviti pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang kini dikenali dengan nama Dewan Burhanuddin. Sehubungan dengan itu, saya mengambil kesempatan ini menyeru ibu bapa yang dermawan atau yang berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu tampil memberi sumbangan membantu pihak sekolah dalam menentukan penerusan kecemerlangan pendidikan anak-anak kita.

Menyentuh tentang sumbangan tidak kira dari segi kewangan dan kepakaran saya ingin menyampaikan usul dan harapan PIBG untuk merealisasikan projek untuk membina satu dewan terbuka serbaguna yang berbumbung untuk kemudahan anak-anak kita dan juga pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti. Saya percaya usul ini akan diterima bagi membolehkan PIBG mengerakkan jentera mengumpul dana dan keperluan-keperluan laini seperti keperluan teknikal umpamanya. Saya percaya ramai dikalangan ibubapa yang sudi menyumbang. Dikalangan ibubapa berkerjaya professional bolehlah menyumbang kepakaran disini, jadi PIBG amat perlu sokongan terutama dari Arkitek, Jurutera Struktur dan Awam ataupun yang berkemahiran dikalangan ibubapa yang ada disini untuk idea dan sumbangan kepakaran. Ibubapa yang bertugas di Majlis Perbandaran Kajang umpamanya boleh membantu dari segi khidmat pengurusan dokumentasi dan sebagainya.

Di samping kemajuan akademik, PIBG juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memastikan pembangunan sahsiah pelajar agar anak-anak kita selamat meneruskan kehidupan mereka dalam era kecanggihan teknologi yang penuh dengan cabaran. Mudah-mudahan impian kita sebagai ibu bapa untuk melihat anak kita berjaya menjadi insan cemerlang tercapai selaras dengan visi dan misi SMK Jalan Reko.

Saya berharap agar Ahli Jawatankuasa PIBG baru yang akan dilantik kelak dapat meneruskan usaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan kecemerlangan SMK Jalan Reko.

Sekian, terima kasih.

YDP PIBG
Hit: 0 Laman Asal

Warning: count(): Parameter must be an array or an object that implements Countable in /home/waktusolat/public_html/modules/mod_out/extract_main.php on line 66