Suasana bulan puasa dulu dan sekarang sudah banyak berbeza. Tiada lagi kedengaran bunyi meriam buluh setiap malam sejak malam pertama. Budak-budak zaman sekarang mungkin dah tak kenal dengan meriam buluh dan cara membuatnya.

Jika dulu mak-mak kita selalu bertukar kuih dan lauk pauk. Sekarang suasana tersebut telah ditelan zaman. Ibubapa sekarang terlalu sibuk dengan urusan harian. Nak makan sesuatu, hanya tunjuk dengan jari dan bayar. Begitulah arus perubahan yang berlaku dalam diam. Suasana dulu lebih indah jika difikirkan semula. Sebelum berbuka kita akan membawa sajian dengan pinggan-pinggan bertutup dan berjalan dari satu rumah ke rumah yang lain. Sewaktu berbuka, lauk yang asalnya hanya dua jenis akan bertambah menjadi lima hingga enam. Jimat belanja dan murah rezeki. Sajiannya pun lebih enak berbanding sekarang. Yelah.. sajian sendiri dan sajian beli pastu berbeza.

Arwah ayah dulu seorang guru. Setiap kali raya, anak-anak muridnya akan konvoi ke rumah dengan basikal tua. Setiap yang pulang akan diberi duit raya (tidak dalam sampul seperti sekarang). Masa tu 20sen pun sudah dianggap mewah. Kalau sekarang RM1.00 pun budak-budak tengok sebelah mata.


Dulu Tilawah Al Quran diadakan dalam bulan puasa. Waktu itu orang-orang kampung dan jiran-jiran akan bertandang ke rumah kerana ingin menonton. Waktu itu rasanya rumah yang memiliki tv boleh dibilang dengan jari. Itupun tv hitam putih (yang ada pintu boleh ditolak tepi dan tengah untuk tutup).. Tv tu pulak siap dengan kaki. Sekarang tv lcd bersepah. Ada yang sampai mencecah 50 inci lebarnya.

Budak-budak dulu tak suka terperap di rumah. Cerita tv kalau ada pun hanya sarkas dan silap mata. Mereka akan berjalan dari rumah ke rumah dengan basikal atau berjalan kaki. Sekurang-kurangnya budaya ini masih ada walaupun semakin berkurangan. Budak-budak sekarang lebih banyak di depan tv (seperti anak-anak saudaraku). Drama-drama dan filem-filem melayu yang selesai ditayangkan di panggung menjadi sajian bersama kuih-kuih raya.

Bercerita tentang kuih raya, kuih raya dulu lebih enak. Bahulu dulu dan bahulu sekarang pun dah jauh berbeza. Kuih bakar, kuih sepit, kuih siput, putu kacang dan lain-lain lebih sedap berbanding kuih-kuih moden yang beranika warna dan corak tapi rasanya seakan sahaja.

Dulu, kad raya adalah pengganti diri. Kad-kad raya yang diterima akan digantung pada pokok sebagai hiasan. Kini kad raya telah hilang serinya dan diganti sms (pesanan ringkas) yang katanya lebih murah dan efisien.

Banyak tradisi lama dilupakan dan tradisi baru muncul mengganti. Namun keindahan tradisi dulu seharusnya kita simpan sebagai kenangan. Jika tidak ada tradisi lama...manakan boleh tradisi baru disebut 'baru'.. Selamat hari raya buat semua
Hit: 0 Laman Asal