Pakar feng shui lima sekeluarga maut dalam kebakaran
Oleh: MOHD. FAIRUZ YUSOF
JOHOR BAHRU 31 Mac - Lima beranak maut dalam kebakaran membabitkan seunit rumah teres dua tingkat di Taman Daya di sini, awal pagi ini.
Mangsa ialah pakar feng shui, Tneo Ho Seng, 50, dan isteri, Loo Siew Ngah, 37, serta tiga anak mereka, Tneo Pink Cheng, 10, Tneo Chee Long, 9, dan Tneo Pink Khin, 7.
Semua mereka yang ditemui mati di tingkat atas rumah itu, dipercayai terperangkap dan mengalami sesak nafas ak...
Pakar feng shui lima sekeluarga maut dalam kebakaran
Oleh: MOHD. FAIRUZ YUSOF
JOHOR BAHRU 31 Mac - Lima beranak maut dalam kebakaran membabitkan seunit rumah teres dua tingkat di Taman Daya di sini, awal pagi ini.
Mangsa ialah pakar feng shui, Tneo Ho Seng, 50, dan isteri, Loo Siew Ngah, 37, serta tiga anak mereka, Tneo Pink Cheng, 10, Tneo Chee Long, 9, dan Tneo Pink Khin, 7.
Semua mereka yang ditemui mati di tingkat atas rumah itu, dipercayai terperangkap dan mengalami sesak nafas akibat asap tebal.
Mayat Ho Seng dijumpai tertiarap di bilik tidur utama. Siew Ngah pula di bilik tidur anaknya dipercayai untuk menyelamatkan ketiga-tiga anaknya daripada kebakaran itu.
Bagaimanapun, pembantu rumah Indonesia, Jintan Munyani, 28, yang berada di tingkat bawah berjaya diselamatkan apabila jirannya yang mendengar jeritan mangsa bertindak memecahkan tingkap untuk menyelamatkannya.
Jintan cedera dengan melecur 10 peratus pada bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Mohd. Razam Tajarahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.37 pagi dan menghantar dua jentera masing-masing satu dari balai bomba Johor Jaya dan Johor Bahru bersama 25 anggota ke tempat kejadian.
Menurutnya, kebakaran berlaku dipercayai bermula di bahagian tempat letak kereta yang dipenuhi dengan kelengkapan keagamaan dan merebak ke bahagian bawah rumah itu.
``Sebaik bomba tiba di tempat kejadian, kita mendapati sebuah kereta milik jiran mangsa turut terbakar.
``Kebakaran itu berjaya dikawal apabila bomba bertindak pantas memastikan api tidak merebak ke rumah berhampiran,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Razam berkata, pihaknya cuba naik ke bahagian atas rumah tersebut, tetapi gagal apabila bumbungnya tiba-tiba runtuh.
Tambahnya, kelima-lima mangsa terbabit berada di tingkat atas dan dipercayai cuba menyelamatkan diri, tetapi gagal kerana api marak dengan cepat di bahagian bawah rumah itu.
Mohd. Razam berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.
The different between a succesful man and the most successful man is the size of their dream
~lahirnya manusia disambut dgn azan,matinya manusia diiringi dgn solat,alangkah singkatnye hidup ini...~