Hadis 1:

Diriwayatkan bahawa seorang sahabat r.a berkata:
"Ya Rasulullah, hukum-hukum syariah(undang-undang islam) ini telah banyak bagiku, tunjukilah kepadaku akan sesuatu sebagai pegangan bagiku,"

Baginda SAW bersabda:"Hendaklah lidahmu sentiasa basah dangan zikrullah"

Keterangan:
Di dalam sebuah hadith ada disebutkan Muaz r.a berkata bahawa perbicaraan yang terakhir sekali yang berlaku di antara baginda SAW dengannya ialah seperti berikut:

"Semasa aku berpisah dengan Rasulullah SAW dan aku bertanya amalan manakah yang amat dicintai oleh Allah?"

Sebagai menjawab, baginda SAW bersabda:

"Basahilah lidahmu dengan zikrullah ketika kamu tinggalkan dunia."

Semasa berpisah - maksudnya,ialah baginda SAW mengutus Muaz r.a selaku gabenur ke Yaman untuk menyampaikan dakwah dan taklim di sana. Di waktu Muaz r.a hendak berangkat, baginda SAW memberikan beberapa nasihat kepadanya. Beliau juga mengemukakan beberapa masalah kepada baginda SAW termasuklah masalah yang tertera di atas.

Hukum-hukum syariat ini telah banyak yakni setiap perintah mestilah dipatuhi dan dilaksanakan , tetapi bagi memperolehi tingkatan yang tertinggi tentang perlaksanaan setiap perintah itu adalah amat sukar . Oleh itu, tunjukkanlah aku akan sesuatu yang teristimewa sekali supaya dapat aku memegang dan mengamalkannya dalam setiap keadaanku. Demikianlah harapan sahabat yang mulia itu .

Di dalam sebuah hadith dilaporkan bahawa baginda SAW bersabda:

"Barangsiapa yang didapati padanya empat perkara, nescaya ia akan memperolehi segala kabaikan di dunia dan di akhirat. Pertama,lidah yang sentiasa dibasahi dengan zikrullah. Kedua,hati yang sentiasa sibuk dengan bersyukur. Ketiga, anggota-anggota tubuh yang sentiasa menahan segala penderitaan.Keempat, isteri yang tidak mengkhianati maruahnya dan harta benda suaminya."

Mengkhianati maruah bermakna mengerjakan sesuatu kemaksiatan. Lidah yang basah maksudnya telah pun diterangkan oleh para ulama sebagai membanyakkan zikir. Ini adalah merupakan simpulan bahasa, menurut kebiasaan,apakala seseorang memuji atau menyebut nama seseorang yang lain dengan sebanyak-banyaknya, maka dikatakan bahawa lidah si fulan telah dibasahi dengan memuji si anu .

Tetapi pada pandangan saya,jika seseorang jatuh dalam percintaan maka lidahnya akan merasai kemanisan dan kelazatan hanya dengan menyebut nama orang yang dicintainya. Hakikat ini tentu dirasai oleh orang yang pernah jatuh cinta. Oleh itu, maksudnya sudah terjelas iaitu sehinggalah kelazatannya dapat dirasai oleh lidah orang yang menyebutnya.

Saya pernah melihat guru-guru yang arif, apakala mereka berzikir secara jihir(dengan menguatkan suara), maka kelazatannya juga dirasai oleh orang yang berada di samping mereka itu .

Tetapi hal ini hanya diperolehi, apabila hati sibuk dengan mencintai dan lidah sibuk dengan menyebut namanya dangan sebanyak -banyaknya. Dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa tanda mencintai Allah ialah mencintai zikirnya dan tanda membenci Allah ialah membenci zikirnya. Abu Darda' r.a berkata bahawa orang-orang yang lidahnya sentiasa sibuk dengan zikrullah, maka mereka itu akan memasuki syurga sambil tersenyum.


Hadis 2:

Abu Musa r.a memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Perbandingan orang yang berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati . Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang yang mati."

Keterangan :

Setiap manusia mencintai kehidupannya dan setiap orang pula takut mati . Baginda Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa tidak mengingati Allah SWT sungguh pun ia mati, namun keadaannya tidak berbeza dengan keadaan orang yang mati, kehidupannya adalah sia-sia belaka."

Seorang pujangga berbangsa Farsi berkata:

"Kehidupanku itu bukanlah kehidupan pada hakikatnya tetapi kehidupan yang sebenarnya ialah orang yang dapat mencintai kekasihnya."

Sebahagian ulama lain pula mengatakan bahawa perbandingan ini adalah tertuju kepada laba dan ruginya yakni barangsiapa yang menyakiti orang yang berzikir itu adalah seperti orang yang menyakiti orang yang hidup,maka ia pasti akan dibalas dan dia akan menerima akibat perbuatannya itu . Dan barangsiapa yang menyakiti orang yang sudah mati yakni orang yang sudah mati itu tidak boleh bertnidak terhadap orang yang menyakitinya itu .

Para ulama tasawuf mengatakan bahawa yang dimaksudkan daripada kehidupan di sini ialah kehidupan yang kekal abadi yakni orang yang berzikir sebanyak-banyaknya dengan serba ikhlas semata-mata dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah ,tidak akan mati. Bahkan setelah ia pindah dari dunia ini, ia dikira sebagai orang yang hidup jua. Seperti yang ditegaskan di dalam al-Quran akan keadaan orang yang mati syahid:

"Bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya." (Ali Imran 169)

Demikian itu adalah penghidupan yang terkhusus bagi mereka yang berzikir sebanyak-banyaknya.

At-Tirmizi ra pernah berkata:

" Bahawa zikrullah itu melemahkan-lembutkan hati. Maka apabila hati itu lalai dari menginggati Allah , maka dengan kepanasan nafsu dan api syahwat hatinya itu menjadi keras membatu dan sejurus itu anggota-anggota lainya turut menjadi keras, terhenti dari mentaati dan mematuhi (perintah-perintah Allah). Jika anggota-anggota itu ditarik(untuk diperbaiki) maka pasti akan terpatah seperti kayu yang kering tidak akan bengkok jika dibengkokkannya, hanya diguna untuk membakar sahaja."
Hit: 0 Laman Asal