NABI Ibrahim a.s memikirkan hakikat kejadian alam ini. Pemikirannya bertambah dalam, hingga ke alam akhirat, seterusnya terdetik dalam akalnya cara Tuhan menghidupkan manusia yang mati.

Beliau tidak dapat memikirkan masalah itu menggunakan akalnya, walaupun puas dicuba. Ini kerana hal berkaitan menghidupkan makhluk yang mati di luar kemampuan manusia.

Justeru, baginda berdoa supaya memperlihatkan kepadanya mengenai perkara berkenaan. Doa baginda diterima, namun Allah bertanya kepadanya: “Apakah kamu wahai Ibrahim belum beriman?”

Ibrahim berkata: “Tidak sekali-kali, bukankah Engkau memberikan wahyu kepadaku dan aku sudah percaya serta membenarkannya. Tetapi perkara ini semata-mata bagi menguatkan imanku.”

Lalu Allah memerintahkannya mengambil empat burung, kemudian burung itu dipotong dan dipisahkan setiap anggota badannya, supaya Ibrahim melihat sendiri burung itu dihidupkan semula.

Potongan kecil daripada empat ekor burung itu dihancurkan, lalu dipisahkan antara satu sama lain. Kemudian burung yang sudah dihancurkan itu dijadikan empat bahagian dengan masing-masing bahagian itu diletakkan di atas puncak empat bukit berjauhan.

Kemudian Ibrahim diperintahkan memanggil burung terbabit. Masing-masing bercantum kembali dan terbang ke arahnya. Baginda menyaksikan peristiwa berkenaan dengan perasaan kagum.

Menurut sesetengah pihak, Nabi Ibrahim disuruh mengambil empat burung, lalu memeliharanya dan menjinakkannya hingga burung terbabit dapat datang kepadanya apabila dipanggil.

Kemudian setiap burung itu diletakkan di bukit berlainan, lalu dipanggil dengan satu tepukan atau seruan. Burung itu akan segera datang walaupun tempat terpisah dan berjauhan.

Selepas itu, Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim: “Demikian juga Aku membangkit dan menghidupkan manusia yang sudah mati untuk dihidupkan di alam akhirat dan akan dihisabkan semua amalannya ketika berada di dunia. Dan semua manusia akan menerima balasan masing-masing.”

Nabi Ibrahim pernah berdebat dengan Namrud bin Kana'an, iaitu seorang raja dunia yang empat. Tiga lagi raja ialah Zulkarnain (Mukmin, yang diterangkan dalam surah al-Kahfi), Sulaiman bin Daud a.s (rasul) dan Bukhatnashar (kafir).

Mengikut cerita, Namrud memegang tampuk pemerintahan selama 400 tahun, seorang raja dunia yang selalu melampaui batas, sombong dan zalim, malah menganggap dirinya tuhan.

Perdebatan pertama apabila Namrud berjumpa dengan Ibrahim. Namrud bertanya: “Wahai Ibrahim, siapakah tuhanku? Adakah bagimu tuhan selain aku?”

Nabi Ibrahim menjawab: “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.” (al-Baqarah: 258)

Begitupun, Namrud mentertawakan Nabi Ibrahim dengan mengejek dan menentang dengan berkata: “Saya dapat menghidupkan dan mematikan.”

Nabi Ibrahim bertanya: “Bagaimana caranya?” Namrud berkata: “Lihatlah!” Kemudian Namrud memanggil pemegang kunci dan memerintahkannya bagi mendapatkan dua orang lelaki dari penjara yang dihukum bunuh.

Kemudian Namrud memerintahkan tukang pukul untuk memukul leher seorang daripada dua orang terbabit, lalu mati.

Namrud berkata: “Inilah aku telah mematikannya dan aku telah perintahkan untuk membebaskan seorang lagi, lalu lepaslah dia dari kematian.” Tambahnya lagi: “Inilah aku telah menghidupkannya.”

Perdebatan antara Namrud dan Nabi Ibrahim pada hari keluarnya baginda dari api, disebabkan pada hari berkenaan tiada penyelesaian membuatkan mereka saling berdebat.

Nabi Ibrahim pernah berhijrah ke Mesir bersama isterinya, Sarah kerana perbatasan Palestin ketika itu tandus. Di Mesir baginda memperolehi seorang hamba wanita bernama Hajar.

Baginda kembali ke Palestin bersama Sarah dan Hajar. Hati Sarah semakin gusar kerana selama 70 tahun berkahwin tidak dikurniakan anak, sedangkan usianya semakin tua.

Lalu Sarah memaklumkan kepada suaminya, Nabi Ibrahim supaya hamba wanitanya, Hajar dibolehkan untuk dijadikan isterinya, dengan harapan dikurniakan anak yang soleh dan memberikan sinar kehidupan mereka.

Perkahwinan Nabi Ibrahim dengan Hajar memperolehi Nabi Ismail a.s dan baginda membawa kepada keturunan Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika usia Nabi Ibrahim 100 tahun, Sarah yang ketika itu juga sudah tua dan lemah melahirkan anak pula iaitu Ishaq a.s. yang membawa kepada keturunan beberapa nabi di kalangan Bani Israil.

Nabi Ibrahim hidup selama 175 tahun. Baginda dimakamkan di kampung al-Mukafilah dan isterinya Sarah dimakamkan di tempat berkenaan. Tempat itu kini dinamakan al-Halil.
Hit: 0 Laman Asal