KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu dijadikan sebagai misi nasional yang membabitkan peranan semua pihak bagi mencapai sasaran kedatangan 28 juta pelancong pada tahun depan.
Perdana Menteri berkata, projek yang didokong oleh kerajaan bukan sahaja terletak di bahu Kementerian Pelancongan tetapi juga setiap kementerian dan agensi serta kerajaan negeri untuk memastikan program itu mencapai kejayaan sepenuhnya.
"Kita semua ada peranan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Daripada pintu masuk Malaysia, pegawai Imigresen, pegawai Kastam, pemandu teksi, penyambut tetamu di hotel, peniaga, pengusaha pelancong, dan rakyat Malaysia.


"Kita semua mesti menunjukkan sikap mesra pelancong. Kita mesti beri mereka satu perasaan iaitu jika melawat Malaysia, mereka akan diterima dengan layanan yang cukup mesra dan sopan," katanya ketika melancarkan Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014.
Najib berkata kemudahan infrastruktur sahaja bukan cukup tetapi kemesraan, keceriaan, kesopanan serta sikap ingin membantu pelancong dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelawat dari luar negara.
Najib berkata Malaysia mempunyai keunikannya yang tersendiri yang tidak terdapat di negara lain, antaranya fauna dan flora serta ekosistem yang antara terbaik di dunia, bandar raya kosmopolitan, lokasi keempat terbaik di dunia untuk membeli-belah dan sebagainya.
"Nak tengok budaya orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli, dan lain-lain, semua ini boleh dikecapi dan dilihat di Malaysia. Inilah 'selling-point' (pelaris) Malaysia yang tidak boleh ditandingi oleh negara lain. "Ditambah lagi dengan keamanan, kestabilan yang menjadikan negara kita cukup menarik sebagai destinasi pelancongan," katanya. 
Beliau berkata kerajaan akan terus memberi galakan kepada industri pelancongan negara yang mensasarkan untuk menerima 36 juta pelancong menjelang 2020. - Bernama
Sumber - http://www.sinarharian.com.my/tahun-melawat-malaysia-2014

Hit: 0 Laman Asal