Bahana modal kad kredit   20 Oktober 2014 Seorang lelaki sedang kecewa mungkin akibat hutang. - Gambar Hiasan. Seorang lelaki sedang kecewa mungkin akibat hutang. - Gambar Hiasan.                                                        
MASALAH kewangan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, walaupun kepada seseorang yang bergelar jutawan.

Musibah ini boleh mengubah hidup seseorang menjadi tidak menentu dan ada keadaan yang boleh menyebabkan seseorang itu terganggu dari segi emosi.

Steven (bukan nama sebenar) merupakan seorang pemilik bersama sebuah firma multinasional.

Dia mempunyai segala-galanya seperti teman wanita, wang, rumah, kereta, kad kredit dan lain-lain lagi.

Bagi Steven, wang bukanlah satu masalah besar baginya kerana dia seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai rangkaian perniagaan yang pelbagai.

Sebagai seorang ahli perniagaan, Steven mengambil risiko dengan membeli saham yang dirasakannya boleh membuat keuntungan.

Namun, seperti kata pepatah langit tidak selalunya cerah. Perniagaan saham meliputi risiko dan nasib Steven tidak begitu baik. Ekonomi global dunia tiba-tiba merudum sekitar tahun 2008 dan menyebabkan ramai ahli perniagaan kerugian termasuk Steven.

 Steven kerugian teruk sehingga mencecah enam angka. Untuk menyelamatkan perniagaannya, Steven memohon pelbagai pinjaman dan juga menggunakan kad kredit dengan amaun maksima untuk membuat pusingan modal perniagaannya.

Keadaan ini menyebabkan Steven dibelenggu hutang berjumlah ratusan ribu ringgit. Steven terpaksa menjual kondominium dan kereta mewahnya untuk menampung hutang tersebut. Namun keadaan tidak banyak berubah. Beban hutang yang ditanggungnya masih lagi menggunung tinggi.

Steven mengakui dia pernah menolak untuk datang meminta bantuan dari AKPK kerana berasa malu jika orang ramai mengetahui masalah kewangan yang dihadapi. Namun, menjejakkan kaki ke dalam pejabat AKPK dan berjumpa dengan kaunselor AKPK seterusnya mengikuti program pengurusan kredit benar-benar memberi manfaat kepadanya dalam menguruskan kewangan dan membayar balik hutang dengan pihak bank.

Steven mungkin terpaksa melupakan gaya hidup mewah yang diamalkannya buat seketika, namun kelegaan membayar balik hutang dengan pihak-pihak bank dan menguruskan kewangannya secara berhemat memberikan kelegaan buat dirinya.
Individu yang memerlukan khidmat nasihat kewangan secara percuma boleh hubungi AKPK di nombor telefon 1-800-88-2575 atau layari laman web www.akpk.org.my

Sumber : SinarHarian
Hit: 13 Laman Asal