1.0       Pengenalan Aktiviti kokurikulum sebenarnya telah lama diperkenal dan dilaksanakan dalam sistem pendidikan di negara ini, iaitu sejak zaman penjajahan British lagi.  Antaranya ialah penubuhan pasukan pengakap yang pertama di Malaysia mengambil tempat di Singapura pada tahun 1909.  Aktiviti gerakerja kokurikulum ini diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang terkandung dalam surat arahan School Course of Studies Regulation 1956 dan Pindaan tahun 1961 (Akta Pendidikan 1961, No.552.)  Aktiviti ini dikenali dengan nama Kegiatan Kumpulan. (Ab. Alim, 2004).  Sekarang ini aktiviti kokurikulum telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, yakni sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan yang wajib dilaksanakan di sekolah-sekolah.  Untuk itu, aktiviti kokurikulum perlulah dirancang, diurus dan dilaksanakan secara sistematik, cekap dan berkesan seperti mana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

2.0       Definisi Kokurikulum Kegiatan atau gerakerja kokurikulum merupakan aktiviti pendidikan yang dirancang dan dilaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah berasas dan lanjutan sesi persekolahan. (Mok Soon Sang, 2011).  Selain itu kokurikulum juga boleh diertikan sebagai apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah. (Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum
Kebangsaan), 1997).  Sementara Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002)  pula mendefinisikan kokurikulum sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah .  Menurut Md. Aris Mansor dalam Ab. Alim Abd. Rahim (2004), aktiviti kokurikulum merupakan satu bidang pembelajaran yang berasaskan kepelbagaian gerakerja terancang dan perlu dilakukan dalam masa persekolahan.  Menurut Ee Ah Meng (1995) pula, kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja tersusun dan terancang.  Menurutnya lagi, gerak kerja ini adalah lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah yang dijalankan melalui pertubuhan pakaian seragam, persatuan atau kelab dan kelab permainan atau sukan.
3.0       Matlamat Aktiviti Kokurikulum Pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah-sekolah antara lain mempunyai beberapa matalamat.  Antaranya ialah untuk memperkembangkan intelek, sosial, jasmani dan rohani murid secara optimum.  Selain itu aktiviti kokurikulum yang dijalankan juga bermatlamat untuk mengukuh dan memperkaya ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam bilik darjah, serta memperluas pengalaman murid dalam bidang tertentu.  Melalui kegiatan kokurikulum juga, murid-murid diharapkan dapat mengisi masa lapang dengan lebih berfaedah, dan memberi kegembiraan serta pembinaan kesihatan dan kesejahteraan kendirinya. Melalui gerak kerja kokurikulum juga, diharap dapat memperkembang dan meningkatkan kemahiran-kemahiran asas dalam sesuatu permainan, sukan, unit
beruniform, dan aktiviti berpersatuan.  Selain itu aktiviti kokurikulum juga bermatlamat untuk melatih murid supaya mengejar pencapaian yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.  Disiplin murid juga dapat ditingkatkan melalui aktiviti kokurikulum melalui penyemaian dan pemupukan nilai dan sikap positif selaras dengan hasrat Rukun Negara.  Selain itu aktiviti kokurikulum juga diharap dapat membentuk iklim sekolah dengan lebih menarik dan menggembirakan murid di samping dapat mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan murid.
4.0       Objektif Kokurikulum             Antara lain objektif aktiviti kokurikulum adalah untuk melengkapkan kurikulum sekolah, khasnya program pendidikan jasmani yang diperlukan.  Di samping itu,  ia juga mempunyai objektif untuk mempelbagaikan aktiviti kepada murid-murid mengikut kebolehan dan bakat masing-masing.  Aktiviti kokurikulum juga dapat memberi ruang kepada murid-murid untuk melepaskan tekanan perasaan setelah bertungkus-lumus di dalam bilik darjah.  Melalui aktiviti kokurikulum juga, murid-murid berpeluang untuk berinteraksi di antara satu sama lain, serta memupuk semangat toleransi dan sifat-sifat mulia dalam kalangan mereka.  Murid-murid juga dapat memupuk semangat berpasukan melalui pergaulan dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum.



5.0       Aktiviti Kokurikulum di Sekolah             Di peringkat sekolah, terdapat 3 jenis aktiviti kokurikulum iaitu Sukan dan Permainan, Persatuan dan Kelab, dan Pasukan Pakaian seragam.  Pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah adalah bertujuan untuk mengembangkan potensi, bakat dan kepimpinan murid-murid dalam bidang jasmani, sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat, di samping membentuk sahsiah dan sikap yang positif.             Kelab dan Persatuan boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Kelab dan Persatuan yang berasaskan sesuatu mata pelajaran dan yang berunsurkan hobi.  Menurut Laporan Kabinet 1979, matlamat penubuhan sesebuah kelab / persatuan di sekolah adalah untuk menggalakkan murid-murid berkenalan sesama sendiri, memberi perkhidmatan kepada masyarakat di samping membolehkan murid-murid atau pelajar memperolehi kemahiran di dalam sesuatu lapangan atau hobi. Kelab dan Persatuan berasaskan mata pelajaran bertujuan menambahkan minat dan kemahiran murid-murid dalam mata pelajaran itu.  Contoh  persatuan-persatuan dalam kategori ini ialah Persatuan Bahasa Malaysia, Persatuan Sains, Persatuan Matematik, Persatuan Sejarah dan sebagainya.  Manakala Persatuan dan kelab yang berunsur hobi pula bertujuan menarik minat dan memberi ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang atau hobi yang tertentu.  Contoh persatuan dan kelab tersebut ialah Kelab Senifoto, Kelab dan Persatuan Pertahanan Diri seperti silat dan taekwondo, Kelab muzik dan kebudayaan, dan lain-lain lagi.  .             Di dalam Laporan Kabinet 1979, adalah dicadangkan agar semua murid sekolah digalakkan mengambil bahagian sekurang-kurangnya salah satu pasukan pakaian

seragam. (Mok Soon Sang, 2011). Antara pasukan pakaian seragam yang boleh dianggotai oleh murid-murid sekolah ialah sama ada yang berbentuk badan sukarela (NGO) atau pun yang lebih terarah kepada pertubuhan kerajaan.  Antara pertubuhan yang berbentuk badan sukarela atau bukan kerajaan (NGO) ialah Pertubuhan Pengakap, Pertubuhan Puteri Islam, Pandu Puteri, Pertubuhan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulans dan lain-lain.  Sementara pasukan pakaian seragam yang menjurus kepada pertubuhan kerajaan ialah kadet polis, kadet bersatu Malaysia, kadet bomba,  dan lain-lain.  Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri menubuhkan dua unit pakaian seragam di bawah kementeriannya iaitu Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bagi sekolah rendah manakala Kadet Remaja Sekolah (KRS) pula adalah untuk sekolah menengah.             Sukan dan permainan merupakan satu saluran penting untuk menanam semangat kesukanan, memupuk persefahaman serta perpaduan dalam kalangan murid-murid di negara kita.  Maka dengan sebab itulah diwujudkan kelab-kelab permainan di peringkat sekolah dan dilakasanakan pada waktu aktiviti kokurikulum.  Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 16, Tahun 2010:  Pelaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M1S), setiap murid wajib mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam satu jenis permainan atau sukan.  Dasar 1M1S menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.  Oleh itu itu, melalui dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.  Ia juga selaras dengan dasar sukan negara untuk membudayakan sukan di kalangam masyarakat.  Antara bidang sukan  dan
permainan yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah  ialah bola sepak, bola jaraing, olahraga, bola tampar, sepak takraw dan lain-lain lagi.
6.0              Permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru yang melaksanakan aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah Terdapat pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru dalam melaksana dan mengendalikan aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah.  Ada masalah-masalah yang berpunca daripada guru-guru sendiri sehingga aktiviti kokurikulum tidak dapat dijalankan sebaik mungkin.  Antaranya guru-guru sendiri tidak bergiat dalam aktiviti kokurikulum kerana merasakan ia membuang masa pelajar.  Ada sesetengah guru pula merasakan tempat tinggal mereka yang jauh menyukarkan untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum di samping mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu dipikul. Selain itu ada juga guru-guru yang menjalankan aktiviti kokurikulum mempunyai pengetahuan yang agak terhad dan kurang kemahiran serta pengetahuan dalam bidang yang diberikan kepada mereka oleh pihak pentadbir.  Keadaan ini timbul kerana mereka kurang pengalaman dan tidak pernah didedahkan dengan sebarang kursus.  Ini menimbulkan masalah kepada guru-guru untuk melaksanakan aktiviti yang benar-benar dapat menimbulkan minat di kalangan murid atau pelajar.  Keadaan ini dapat dilihat hasil daripada kajian Laporan Kabinet (1979) yang mendapati kecenderungan guru terhadap sesetengah aktiviti kokurikulum seperti unit beruniform dan sukan tidak memberangsangkan.
Terdapat juga para pelajar atau murid-murid yang terlalu mementingkan peperiksaan sehingga mengabaikan kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah-sekolah.  Lim Yen Yen (1991), dalam kajiannya mendapati bahawa aktiviti kokurikulum kurang penting sebaliknya mereka lebih memberi tumpuan terhadap bidang akademik semata-mata.  Mereka beranggapan bahawa bidang akademik lebih menjamin masa depan mereka berbanding menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah.             Permasalahan juga timbul akibat daripada kekuarangan kemudahan serta penjadualan yang kurang sistematik.  Ada sesetengah sekolah tidak mempunyai prasarana yang lengkap bagi membolehkan aktiviti kokurikulum dapat dijalankan dengan jayanya.  Misalnya terdapat sekolah-sekolah yang tidak mempunyai padang bola yang sesuai bagi membolehkan aktiviti dijalankan malah jika ada pun hanyalah merupakan padang yang agak sempit.  Ini akan menimbulkan kesesakan apabila aktiviti sukan diadakan, seterusnya menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pelajar.  Selain itu peralatan yang tidak mencukupi turut menyumbangkan kepada permasalahan kepada guru-guru untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum sebaik mungkin.  Keadaan ini diburukkan lagi apabila pihak pentadbir sendiri kurang memberi perhatian terhadap hal-hal begini.             Sesetengah sekolah pula kadangkala tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi terutama sekolah-sekolah gred ’B’ atau Sekolah Kurang Murid (SKM).  Keadaan ini akan menimbulkan masalah jika sekolah ingin mengadakan aktiviti perkhemahan yang menelan belanja yang agak banyak.  Keadaan ini selalunya berlaku bagi sekolah-sekolah yang terdapat di luar bandar.  Sebarang kutipan daripada murid tentunya akan membebankan ibu bapa.            
Faktor tempat tinggal pelajar juga turut menyumbang kepada permasalahan ini di samping masa pelaksanaan kokurikulum itu sendiri.  Ramai pelajar yang tinggal berjauhan dengan sekolah memberikan alasan bahawa mereka gagal menghadiri aktiviti kokurikulum kerana menghadapi masalah pengangkutan apabila aktiviti dijalankan pada waktu petang.  Mereka juga terpaksa pulang agak lewat terutama bagi yang tinggal jauh dari sekolah dan ini akan mengundang bahaya ketika dalam perjalanan.  Oleh itu, sebagai jalan tengah, mereka mengambil keputusan untuk terus tidak menghadiri aktiviti tersebut. Kurang galakan daripada ibu bapa juga menjadi pendorong terhadap permasalahan guru-guru melaksanakan aktiviti kokurikulum.  Menurut Mustafa Kamal (2000), dalam kajiannya mendapati ibu bapa kurang mendorong anak-anak untuk bergiat dalam aktiviti kokurikulum.  Ramai ibu bapa beranggapan bahawa akademik lebih penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka berbanding kegiatan kokurikulum.  Di samping itu ramai juga ibu bapa yang ragu-ragu dengan fungsi kokurikulum yang dianggap tidak dapat membantu anak-anak mereka.             7.0              Cara-cara penyelesaian permasalahan kokurikulum Terdapat pelbagai cara yang dapat digunakan untuk mengurangkan bebabanan guru-guru mengatasi permasalahan yang timbul dalam menjalankan aktiviti kokurikulum.  Faktor utama yang dilihat mendorong kepada kurangnya penglibatan pelajar ialah penyertaan guru-guru semasa mengendalikan aktiviti tersebut.  Menurut Abu Bakar (1991), penyertaan guru adalah sangat penting bagi memastikan aktiviti kokurikulum berjalan
dengan lancar.  Penyertaan dan peranan yang dimainkan oleh guru dalam aktiviti kokurikulum akan menggalakkan para pelajar hadir serta melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.  Di samping itu guru-guru pula haruslah kreatif ketika menjalankan aktiviti supaya para pelajara tidak berasa bosan dengan aktiviti yang stereotaip sahaja.             Selain itu, para pelajar haruslah diberi kebebasan untuk memilih aktiviti yang diminati oleh mereka kerana ini akan mendorong mereka menjalankan aktiviti dengan bersungguh-sungguh.  Mereka juga akan mendapat kepuasan daripada aktiviti yang diminati dan tidak berasa seolah-olah dipaksa oleh guru.  Melalui aktiviti yang diminati, para pelajar akan dapat memperkembangkan potensi diri yang ada pada mereka melalui aktiviti-aktiviti yang mencabar.  Seterusnya mereka akan mendapat pendedahan dengan bermacam-macam cabaran, dugaan dan sebagainya.  Mereka juga akan dapat menonjolkan bakat yang ada pada mereka secara optima kerana mereka melakukan aktiviti yang mereka minati.  Segala aktiviti yang dilakukan pastinya lahir daripada hati mereka yang ikhlas.             Bagi sekolah-sekolah yang menghadapi masalah kelengkapan dan peralatan yang tidak mencukupi, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah memberi bantuan yang sepatutnya kepada sekolah berkenaan.  Selain itu pihak sekolah juga patut berusaha mencari sumber-sumber lain untuk membeli peralatan baharu.  Antara sumber-sumber yang boleh diusahakan ialah melalui sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru, orang perseorangan, syarikat-syarikat yang membekalkan barangan kepada sekolah dan lain-lain lagi.  Pihak sekolah juga boleh mengadakan aktiviti ’Hari Kantin’ atau

mengadakan ’Jogathon’ untuk mencari dana bagi membeli peralatan kokurikulum seperti peralatan untuk perkhemahan dan juga untuk aktiviti sukan.             Seterusnya masalah pengangkutan dan masa yang turut menjadi penghalang kepada para pelajar untuk menjalankan aktiviti kokurikulum dapat diatasi dengan mengubah masa pelaksanaan.  Pihak pentadbir haruslah peka dengan masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan pelajar jika waktu tamat aktiviti agak lewat.  Oleh itu adalah dicadangkan pihak sekolah dapat menyusun penjadualan dan memulakan aktiviti kokurikulum seawal jam 3.00 petang dan berakhir 5.00 petang.             Selain itu, ibu bapa juga haruslah diberi kesedaran tentang kepentingan aktiviti kokurikulum dalam usaha memperkembangkan potensi dan sahsiah anak-anak mereka agar menjadi insan yang seimbang selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Mereka haruslah diberikan cermah motivasi atau kursus keibu bapaan agar mereka dapat faham sebaik mungkin fungsi kokurikulum terhadap anak-anak mereka.
8.0              Penutup Kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah-sekolah mempunyai amat penting dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).  Aktiviti kokurikulum sebenarnya merupakan lanjutan daripada aktiviti yang dipelajarai dalam bilik darjah.  Misalnya aktiviti sukan dan permainan merupakan lanjutan daripada mata pelajaran Pendidikan Jasmani yang diajar di dalam bilik darjah.  Penglibatan pelajar secara menyeluruh terhadap aktiviti yang dijalankan membolehkan para pelajar mengahayati falsafah
sebenar kokurikulum tersebut seterusnya dapat membantu mereka untuk bergaul dan berhadapan dengan masyarakat pada masa hadapan. Pengelolaan aktiviti kokurikulum yang teratur dan sistematik akan memberi keberkesanan dalam mencapai hasrat FPK.  Aktiviti yang teratur  dan menarik akan menyebabkan para pelajar memberi tumpuan  seperti mana yang berlaku terhadap bidang akademik.  Hal ini adalah kerana penyertaan dan penglibatan para pelajar untuk menyertai aktiviti kokurikulum adalah dipengaruhi oleh aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah. Di samping itu, peranan guru-guru penasihat juga mempengaruhi penyertaan para pelajar untuk menjalankan aktiviti kokurikulum yang dirancangkan.  Guru-guru penasihat juga seharusnya mempunyai kemahiran untuk mengelolakan aktiviti agar dapat menarik minat para pelajar.  Para pentadbir haruslah menghantar guru-guru yang tidak berpengalaman untuk berkursus.  Begitu juga dengan ibu bapa dan masyarakat yang harus bersama-sama menggerakkan aktiviti kokurikulum dengan pihak sekolah bagi melahirkan insan yang benar-benar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sahsiah.






Rujukan
Abu Bakar Nordin. (1991).  Kurikulum perspektif dan perlaksanaan.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Pustaka.
Ab. Halim Abdul Rahim. 2004. Kursus perguruan lepas ijazah:  pengurusan gerak kerja kokurikulum.  Kuala Lumpur :   Fajar Bakti Sdn. Bhd. Ee Ah Meng.  1995.  Pendidikan sebagai suatu proses asas pendidikan 1.  Kuala Lumpur:  Fajar Bakti Sdn. Bhd. Kamus Dewan. (Edisi Ketiga).  2002.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007). Buku panduan pengurusan gerakerja kokurikulum sekolah menengah, Bhg. Sekolah-sekolah. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lim Yen Yen.  Remaja mengabaikan sukan.  Dewan Siwa, hlm. 19, Jun 1991. Mok Soon Sang.  2011.  Pengurusan kokurikulum.  Selangor Darul Ehsan:  Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. 
Mustafa Kamal Ali.  (2000).  Faktor yang mempengaruhi penglibatan pelajar Melayu tingkatan empat dalam aktiviti kokurikulum di rancangan Felda Daerah Segamat Selatan.  Tesis yang tidak diterbitkan:  Universiti Teknologi Malaysia.
Ramlan Abdul Wahab.  2004.  Panduan pengurusan kokurikulum di sekolah. Kuala Lumpur:  Banter   Sdn. Bhd.








 
Hit: 0 Laman Asal