Oleh : Manja Ismail   Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam wawancara khas mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang disiarkan beberapa akhbar semalam, memberikan sepatah jawapan untuk menyimpulkan matlamat utama semua pembaharuan yang bakal diperkenalkan itu – kualiti.
Tanpa menafikan sumbangan besar beberapa pembaharuan ke atas dasar pendidikan sebelum ini dalam memacu pembangunan negara sejak merdeka, perubahan pesat dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara bukan saja memerlukan pelan lebih menyeluruh dan tahan diuji, tetapi bersandarkan kajian, pandangan dan hasrat semua pihak berkepentingan, dari ibu bapa, murid sehinggalah kerajaan dan industri. Sejak merdeka, bidang pendidikan menyaksikan beberapa transformasi bagi menangani masalah dan memenuhi matlamat negara. Penyata Razak 1956 misalnya, digubal bagi merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan.
Bina sahsiah seimbang
Teras perpaduan nasional dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi oleh Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979. Pelaksanaan pelbagai perakuan dalam laporan itu memberi sumbangan besar kepada usaha memupuk dan memperkukuhkan perpaduan nasional.
Pada 1988 pula, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan untuk memupuk nilai murni generasi baru melalui pembinaan sahsiah yang seimbang. Melalui falsafah itu, pendidikan dijadikan alat utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Transformasi ketiga dalam sistem pendidikan kita tercetus apabila kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. Untuk itu, penguasaan ilmu sains dan teknologi diberi keutamaan tanpa mengetepikan pendidikan yang holistik dan bersepadu.
Laporan awal PPP 2013-2025 yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok, adalah permulaan satu lagi fasa transformasi pendidikan untuk menganjak kedudukan kita daripada negara membangun berpendapatan sederhana kepada negara maju berpendapatan tinggi. Bagi mencapai hasrat itu, negara memerlukan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Seperti kata Muhyiddin, modal insan yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa hanya lahir melalui pendidikan bertaraf dunia. Justeru, beliau menyasarkan dalam 15 tahun akan datang, sistem pendidikan Malaysia bakal meraih kejayaan seperti Korea Selatan, Finland, Jepun, New Zealand dan Singapura.
Kumpul pandangan pelbagai pihak
Satu perkara yang menarik mengenai proses transformasi pendidikan kali ini ialah penyertaan rakyat pelbagai lapisan dalam memberikan pandangan dan cadangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan sebaik PPP dilancarkan pada April lalu. Pada masa sama, Kementerian Pelajaran juga mendapatkan pandangan rakyat melalui Twitter, Facebook dan laman web.
Kerajaan juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel bebas, empat panel antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam institusi pengajian tinggi awam dan sembilan makmal pendidikan.
Dalam kata lain, kerajaan menyediakan ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk menyatakan pandangan dalam proses transformasi pendidikan kali ini. Seharusnya tidak berlaku lagi ‘rumah siap pahat berbunyi’ apabila ia dilaksanakan tahun depan. Namun, dalam budaya politik di negara ini sekarang di mana bidang pendidikan sering dipolitikkan, agak mustahil mereka menyokong usaha ini walau sebaik mana sekalipun matlamatnya untuk bangsa dan negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Hit: 8 Laman Asal