Persatuan merupakan sebuah organisasi formal di mana penubuhan dan pengurusannya tertakluk kepada peraturan, undang-undang dan akta yang ditetapkan. Persatuan perlu diuruskan atau ditadbir dengan baik bagi memastikan perjalanannya mencapai objektif dan matlamat penubuhannya. Dengan mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan seseorang ahli akan dapat menambah pengetahuan dan pengalamannya yang mampu mematangkan pemikiran dan meningkatkan keyakinan diri.

Satu elemen penting yang tidak boleh dipinggirkan dalam berpesatuan ialah konsep kesukarelaan. Konsep ini merujuk kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh ahli-ahli secara sukarela tanpa mengira waktu, tenaga dan wang ringgit dan bukan untuk memperoleh pendapatan atau keuntungan. Konsep kesukarelaan dapat digambarkan menerusi kesanggupan ahli persatuan menjalankan tugasan tanpa paksaan dan mengharapkan pembalasan. Selain dari itu, kegiatan berpersatuan juga amat penting dalam memupuk semangat toleransi, perpaduan dan menghapuskan perasaan prejudis.


1.0 Objektif Berpesatuan

Objektif berpesatuan pada dasarnya merujuk kepada operasi sesebuah persatuan yang berlandaskan kepada objektif dan matlamat persatuan. Sebelum sesebuah persatuan diwujudkan, ia hendaklah menetapkan terlebih dahulu objektif utama penubuhannya. Umumnya objektif berpesatuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, kebudayaan, ekonomi dan kerohanian serta memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Kemudian, ia akan menatijahkan setiap ahli persatuan untuk berusaha ke arah mengeratkan hubungan dan kerjasama dikalangan ahlinya bagi mencapai matlamat persatuan.

Dalam usaha untuk mencapai objektif persatuan, kegiatan atau aktiviti yang hendak dijalankan mestilah seiring dengan matlamat dan objektif persatuan yang ditubuhkan. Walaupun fokus aktiviti dan keahlian setiap persatuan adalah berbeza-beza, namun secara umumnya persatuan diwujudkan untuk mencapai objektif yang dapat diringkaskan seperti berikut:

i. Untuk mencapai objektif pembangunan sosial, kebudayaan, ekonomi dan kerohanian di kalangan ahli dan anggota masyarakat
ii. Membentuk organisasi yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat baik dari aspek fizikal mahupun bukan fizikal
iii. Untuk mengeratkan interaksi dan komunikasi yang boleh membina hubungan mesra dalam memupuk semangat kerjasama di antara ahli dengan masyarakat
iv. Memelihara keharmonian dan membentuk amalan bekerjasama dan kebajikan dikalangan ahli dan anggota masyarakat
v. Menggalakkan keterlibatan ahli dalam kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan untuk faedah bersama selaras dengan objektif persatuan dan kehendak masyarakat
vi. Menggalakkan ahli terlibat dalam aktiviti yang dapat meninggkatkan pemahaman terhadap pembangunan masyarakat
vii. Meninggkatkan kualiti kepimpinan dalam organisasi
viii. Melahirkan dan menerapkan amalan pengurusan yang terpuji dan nilai-nilai murni dikalangan ahli.


2.0 Prinsip Berpersatuan

Prinsip-prinsip persatuan pula merujuk kepada keperluan untuk menjadi ahli, mengurus persatuan dan bagaimana persatuan dapat memberi faedah bersama. Sebagai ahli persatuan, kita hendaklah memahami dan mengetahui tentang prinsip-prinsip berpesatuan untuk memudahkannya memainkan peranan dalam menggerakkan persatuan seiring dengan objektif dan matlamatnya. Tanpa memahami prinsip-prinsip persatuan memungkinkan timbul kekeliruan dikalangan ahli yang akhirnya akan menimbulkan konflik. Umumnya terdapat tiga prinsip berpesatuan iaitu:
1. Keahlian adalah secara sukarela
2. Pengurusan secara demokrasi
3. Pertubuhan untuk faedah bersama


3.0 Komitmen Terhadap Persatuan

Urusan pentadbiran persatuan biasanya dikendalikan oleh satu gabungan tenaga ahli atau jawatankuasa yang dipilih dan diamanahkan oleh ahli-ahli melalui proses pemilihan secara sah seperti dalam mesyuarat agung. Gabungan jawatankuasa ini bertanggungjawab terhadap persatuan untuk memastikannya terus bergerak dan menjalankan berbagai-bagai aktiviti untuk kebaikan ahlinya. Memang terdapat ahli persatuan yang benar-benar komited dan sanggup berkorban menyumbangkan tenaga, masa dan wang ringgit malahan sanggup berusaha bersungguh-sungguh melakukan apa sahaja untuk meletakkan persatuan yang mereka ceburi di tempat yang baik. Kadangkala ahli-ahli yang komited sanggup mempertahankan persatuan yang mereka ceburi daripada diganggu gugat oleh mereka yang cuba menjatuhkannya.

Komitmen terhadap persatuan boleh ditakrifkan dengan beberapa cara berbeza. Komitmen terhadap persatuan adalah suatu sikap yang menggambarkan kesungguhan dan kesanggupan ahli melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan terhadap persatuannya. Menurut Azimi dan Turiman (1998) komitmen terhadap organisasi persatuan dirangkumi tiga konsep utama iaitu menerima maklumat, bersedia bekerja kuat dan ingin kekal di dalam pertubuhan yang dianggotainya. Grusky (1966) mendefinisikan komitmen sebagai sifat hubungan seseorang ahli kepada suatu sistem secara keseluruhan. Justeru, konsep komitmen merujuk kepada ketaantan seseorang, kesediaannya menyumbangkan usaha dan tenaga untuk persatuan yang mempunyai matlamat ke arah kesejahteraan ahli.

Komitmen yang keterlaluan terhadap persatuan kadang kala boleh menimbulkan konflik dikalangan ahli-ahlinya. Dalam sesebuah persatuan, konflik dikalangan pihak pengurusan dan ahli-ahlinya tetap ada. Biasanya konflik yang berlaku terbahagi kepada dua iaitu konflik yang membawa manfaat dan tidak bermanfaat.

Komitmen pemimpin dalam persatuan merupakan salah satu elemen yang penting dalam pengurusan persatuan. Kepimpinan ialah keupayaan atau kebolehan individu atau kumpulan manusia yang mampu mempengaruhi orang lain membuat sesuatu mengikut kehendak mereka. Robiah (1993) menjelaskan kepimpinan adalah aktiviti atau tindakan mempengaruhi, kemampuan mengajak, keupayaan mengarah, proses meyakinkan, seni memujuk, cara mempengaruhi orang lain untuk mengerjakan sesuatu. Seorang pemimpin itu memperolehi kuasa memimpin melalui proses pemilihan yang dibuat berdasarkan personaliti, kewibawaan dan aktiviti yang dijalankan. Pemimpin yang berwibawa bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman tetapi juga perlu bekerja untuk membina kuasa dalaman melebihi kuasa fizikal. Ibrahim Mamat (1997) pula menyatakan pemimpin yang tulen ialah orang yang cekap yang mempunyai tanggungjawab dalam mengatur, mengurus, mentadbir dan memandu orang yang dipimpinnya.

Peranan dan komitmen ahli-ahli dalam berpesatuan pula dapat dilakukan dengan menyokong aktiviti yang dijalankan. Sokongan ahli dapat diperkukuhkan melalui penyertaan dan penglibatan secara langsung bagi menjayakan sesuatu program atau aktiviti yang dijalankan. Penyertaan dan sokongan akar umbi menunjukkan kekuatan dan kesatuan ahli-ahli dalam sesebuah persatuan di samping memperlihatkan kemampuan kepimpinan dalam berpesatuan bagi menggerakkan ahli-ahlinya turut serta dalam semua aktiviti yang dijalankan bagi mencapai objektif persatuan. Akhirnya kedua-dua komitmen pemimpin dan ahli persatuan merupakan indikator dalam mengukur keupayaan sesebuah persatuan itu bergerak dengan lebih mantap dan berjaya.

4.0 Faedah Berpersatuan

1. Membina semangat kerjasama
2. Memupuk perpaduan
3. Kebolehan bersosial
4. Memupuk bakat pemimpin
5. Membina personaliti yang baik
6. Mampu membujuk dan mempengaruhi
7. Berfikiran rasional
8. Mampu membina keyakinan diri
9. Membentuk sifat kejujuran
10. Dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik
11. Menerapkan nilai murni

Hit: 0 Laman Asal