``INI tsunami kami,'' kata Datuk Bandar Biloxi, AJ Holloway semasa mengulas `amukan' taufan Katrina yang melanda Mississippi pada Isnin lalu. Biloxi, pusat peranginan yang juga menjadi kediaman bagi 50,000 penduduk mengalami kesan yang teruk dengan ada di antara kawasan ditenggelami air sedalam 9 meter.
Dalam satu kejadian, 30 orang dilaporkan terbunuh apabila sebuah apartmen berhampiran pantai peranginan itu roboh.
Ka...
Katrina AS umpama tsunami Asia
http://villailhami.blogspot.com
``INI tsunami kami,'' kata Datuk Bandar Biloxi, AJ Holloway semasa mengulas `amukan' taufan Katrina yang melanda Mississippi pada Isnin lalu. Biloxi, pusat peranginan yang juga menjadi kediaman bagi 50,000 penduduk mengalami kesan yang teruk dengan ada di antara kawasan ditenggelami air sedalam 9 meter.
Dalam satu kejadian, 30 orang dilaporkan terbunuh apabila sebuah apartmen berhampiran pantai peranginan itu roboh.
Katrina dengan kelajuan 224 kilometer (km) sejam itu turut melanda negeri-negeri Teluk Mexico di selatan Amerika Syarikat (AS) iaitu Lousiana, Alabama dan barat Florida. Dari segi kematian, jumlah korban mungkin tidak sebesar mangsa tsunami yang melanda beberapa buah negara di Asia Disember lalu tetapi Katrina juga membawa kesan yang buruk, bukan hanya sekadar kematian dan kemusnahan.
Jika tsunami menjadikan Aceh padang jarak padang tekukur tetapi Katrina masih meninggalkan ratusan ribu manusia yang hidup tetapi terpaksa menanggung pelbagai derita akibat bencana itu.
Selain menyebabkan kematian yang dijangka mencecah ribuan orang akibat terjahan taufan yang kuat, terperangkap dalam runtuhan rumah dan banjir, Katrina juga menyebabkan berpuluh ribu penduduk terperangkap tanpa makanan, minuman dan tenaga elektrik.
Superdome iaitu sebuah stadium yang menjadi tempat pemindahan mangsa di New Orleans, terpaksa menghentikan pengambilan mangsa berikutan kekurangan tempat. Jumlah mangsa di situ dianggarkan mencecah sehingga 30,000 orang menyebabkan keadaan tidak terkawal.
Lebih memburukkan keadaan ialah pada masa yang sama, ada juga pihak yang mengambil kesempatan menceroboh rumah dan kedai bagi mencuri barang makanan dan ubat-ubatan. Kekacauan dan jenayah juga dilaporkan berlaku malahan terdapat laporan mangsa dibunuh dan diperkosa. Keadaan ini memaksa berpuluh ribu anggota pasukan keselamatan dikerahkan ke kawasan berkenaan.
Di samping itu jalan-jalan raya dan padang ditenggelami air, jambatan runtuh sementara bot-bot yang pecah berselerakan di daratan. Banyak kenderaan pula terkandas dan berserakan dengan pokok-pokok tumbang di sana sini. Kebocoran gas juga berlaku menyebabkan kebakaran. Jalan-jalan raya bertukar menjadi sungai dan bot terpaksa digunakan sebagai pengangkutan bagi menyelamatkan mangsa.
Jika tsunami turut melibatkan ombak mendarat di pantai atau daratan, taufan ini juga membawa ombak besar setinggi 10 meter seperti dilaporkan di kawasan pesisiran pusat peranginan pantai Mississippi. Namun ombak tsunami yang berpunca daripada gempa bumi cepat surut selepas menghempas daratan, taufan Katrina pula membawa banjir besar dan juga kebakaran di samping yang pastinya kerosakan besar kepada bekalan elektrik, air, harta benda dan sebagainya.
Sesetengah kawasan, ia ditenggelami air sedalam 6 hingga 9 meter menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di loteng atau lari di atas bumbung rumah. Mereka yang berada di atas bumbung terpaksa diselamatkan dengan menggunakan helikopter.
Gabenor Louisiana, Kathleen Blanco berkata: ``Kemusnahan adalah lebih teruk daripada yang kami jangkakan. Ia sangat menyayat hati.''
Datuk Bandar New Orleans, Ray Nagin pula berkata: ``Kita mungkin melihat 80 peratus daripada bandar kita ditenggelami air, sesetengahnya dengan kedalaman sehingga 6 meter. Cabaran besar kita sekarang ialah bagaimana untuk mengepam air keluar dari bandar ini.'' Menurut satu laporan, air yang menenggelamkan bandar itu akan `meninggalkan' bandar-bandar berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.
Nagin menjangkakan sekurang-kurangnya 12 hingga 16 minggu diperlukan untuk meredakan keadaan sebelum penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. Dianggarkan satu juta orang mengunjungi New Orleans sebelum kemunculan Katrina tetapi bekas Datuk Bandar Sidney Barthelemy menganggarkan 80,000 orang terperangkap di bandar itu.
Presiden George Bush yang menyifatkan malapetaka itu sebagai `salah satu bencana paling buruk dalam sejarah AS' mengakui pemulihan selepas ini akan mengambil masa beberapa tahun. Banyak yang terpaksa dibangunkan semula dan ketika meninjau melalui pesawatnya yang terbang rendah di bandar-bandar yang terlibat, Bush berkata: ``Sungguh dahsyat. Pasti di bawah sana lebih dahsyat lagi.''
Berikutan bencana itu, beliau meminta Kongres meluluskan dana AS$10.5 bilion.
Dalam masa yang sama, Bush juga terpaksa menghadapi kritikan daripada musuh-musuh politiknya terutama pihak pembangkang kerana gagal menangani masalah taufan itu. Beliau dibidas kerana menghadiri acara nyanyian serta menerima hadiah gitar pada Selasa lalu ketika penduduk berhadapan dengan maut.
Ada yang secara sinis bertanya: ``Adakah beliau faham bahawa apa yang berlaku di teluk kita (Teluk Mexico) adalah lebih penting daripada apa yang terjadi di teluk lain (Iraq)?''
Presiden Venezuela, Hugo Chavez turut mengkritik Bush yang menyifatkan Presiden AS itu sebagai `raja cuti' serta gagal mengesan lebih awal bencana itu.
Beliau bagaimanapun menawarkan bantuan AS$1 juta melalui Citgo Petroleum Corp. di samping bersedia menghantar 2,000 tentera, pasukan bomba, sukarelawan dan tenaga kepakaran bagi membantu mangsa.
Seperti bencana tsunami, nampaknya AS juga gagal memberi amaran awal kepada penduduknya. Di kalangan penduduk juga mula mempersoalkan langkah-langkah keselamatan yang diambil dalam menghadapi bencana seumpama ini. Ramai yang mempertikaikan bagaimana tidak ada maklumat lengkap bagi membolehkan penduduk mencari perlindungan dalam keadaan sedemikian.
Malahan terdapat juga laporan yang menyebut bahawa pada tahun 2001, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan telah menyenaraikan taufan di New Orleans sebagai salah satu daripada tiga bencana yang akan melanda AS di samping serangan pengganas di New York.
Tetapi menjelang 2003, dana untuk mengawal banjir menjadi `kering' selepas ia disalurkan untuk memerangi Iraq. Kini AS menderita lagi menjelang `sambutan ulang tahun' 11 September minggu depan.
dulu kini dan selamanyer....wadah, indah tidak berubah....