Salam sejahtera. Dikala ini, ramai diantara kita yang lebih mengenali
peserta-peserta pertandingan program realiti. Nyanyian dan persembahan
mereka sudah lali dengan kita. Kita boleh mengetahui nama kampung atau
warna kegemaran peserta tersebut. Namun apabila kita menyebut nama Najmil
Faiz, tak ramai yang mengenali beliau.
Kita lebih mengambil berat dan sanggup mengalirkan airmata mendengar
penyanyi dikritik atau diundi keluar daripada mengingati pengorbanan
seorang pemuda Melayu...
Salam sejahtera. Dikala ini, ramai diantara kita yang lebih mengenali
peserta-peserta pertandingan program realiti. Nyanyian dan persembahan
mereka sudah lali dengan kita. Kita boleh mengetahui nama kampung atau
warna kegemaran peserta tersebut. Namun apabila kita menyebut nama Najmil
Faiz, tak ramai yang mengenali beliau.
Kita lebih mengambil berat dan sanggup mengalirkan airmata mendengar
penyanyi dikritik atau diundi keluar daripada mengingati pengorbanan
seorang pemuda Melayu berhempas pulas bekerja keras mencuci bangunan dan
mengangkat barang demi mencari wang untuk membiayai pelajaran dan survival
beliau di negeri orang.
Inilah cerita mengenai seorang pemuda Melayu yang pada 14 Mac 2005 yang
lalu, telah membentangkan hasil kajian beliau kepada anggota Parlimen
United Kingdom di London dan memenangi anugerah "The Best Research of Good
Prospect (2005)". Para pelajar terutamanya diharap menjadikan Najmil
sebagai contoh dan idola mereka...
Kejayaan yang dikecapi Najmil Faiz bukanlah dengan jalan yang mudah.
Beliau telah mengorbankan usia muda dan keseronokan demi mencapai
kejayaan. Pada pendapat beliau, sebagai manusia dan orang Melayu, beliau
mesti membuktikan keupayaan beliau biarpun beliau terpaksa merangkak
sekalipun.
Agenda untuk bangsanya cukup besar. Pendidikan menjadi satu-satunya aset
tidak ternilai untuk kejayaan sesebuah bangsa. Beliau tidak boleh terima
orang memandang rendah bangsa Melayu dan menganggap Melayu kurang asam,
malas berfikir dan tiada daya saing.
Najmil Faiz Mohammed Aris, 26 tahun, pemuda berasal dari Ipoh, Perak ini
mencapai kejayaan setelah 'tersedar' daripada keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dengan pangkat tiga. Selepas itu, beliau pernah bekerja di
stesen minyak dan merasakan dirinya selalu dipandang rendah. Beliau pernah
berasa malu dan tertekan kerana kegagalan, namun beliau berazam untuk
melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti abangnya. Disitulah permulaan
dirinya yang baru.
Kemudian beliau bekerja dengan sebuah firma di Kelantan untuk menyambung
pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein
Onn (KUiTTHO), di Batu Pahat dan pada tahun 2000 beliau melanjutkan
pengajian ke peringkat sarjana muda kejuruteraan dan seterusnya ke
peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Universiti Metropolitan di Leeds.
Di sana, beliau terpaksa bertungkus-lumus bekerja sambil belajar sehingga
tidur hanya dua tiga jam sehari. Pada waktu rehat tengah hari, sementara
menunggu kuliah petang, dia bekerja. Semua jenis kerja keras dilakukan
beliau termasuk mencuci bangunan dan mengangkut barang semata-mata bagi
menampung kos pengajian dan sara hidup.
Semasa menceritakan pengalamannya di suatu majlis di Kuala Lumpur , beliau
berkata bahawa tiada istilah penat dalam diri beliau dan beliau kerap
tidak tidur malam mengulangkaji pelajaran. Beliau menambah lagi bahawa
bukan mudah untuk beliau sampai ke tahap ini, sehingga untuk belajar
bahasa Inggeris pun beliau terpaksa bertungkus lumus. Di dalam majlis
tersebut, terlihat kesyahduan wajah kepuasan beliau dan menampakkan
keyakinan untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya yang berakhir
tahun depan.
Pada 14 Mac 2005 yang lalu, beliau mencipta sejarah pelajar Malaysia yang
pertama diberi penghormatan dan pengiiktirafan untuk membentangkan kajian
beliau "Micro Machine Process" kepada anggota Parlimen UK di London dan
memenangi anugerah "The Best Research of Good Prospect (2005)". Beliau
membentangkan kajian mengenai Proses Mikro dan Kejuruteraan Nano selama 15
minit. Najmil tidak menghampakan apabila anggota Parlimen yang hadir bukan
sahaja amat berminat dengan ideanya tetapi juga memberikan galakan
kepadanya untuk meneruskan kajian beliau yang membabitkan "Nano" dan
"Micro Machine Process".
Najmil yang terpilih sebagai antara pelajar Asia paling cemerlang, berjaya
membuka mata industri United Kingdom terhadap kebolehan rakyat menerusi
inovasi yang dihasilkan. Menurut Najmil, kajiannya berkaitan teknologi
mengurangkan geseran yang mampu mengurangkan kos serta meningkatkan
keefisienan dalam industri dan sektor pembuatan. Katanya pengurangan
geseran akan membantu meminimumkan kehausan terhadap peralatan yang
digunakan dalam sektor perkilangan. Kajian beliau amat diminati pengilang
kerana ia dapat menjimatkan kos operasi berbilion ringgit dan masa,
meningkatkan kadar hayat mesin dan gear yang digunakan serta meningkatkan
keefisienan sektor pengilang di seluruh dunia.
Selain itu, teknologi ini mampu dimanfaatkan oleh sektor perubatan
terutamanya dalam pembedahan tulang belakang dan tulang pinggul. Ini
dengan meminimumkan geseran pada permukaan dan sendi tulang yang dapat
memastikan tulang berfungsi dalam keadaan terbaik.
Hasil daripada pembentangan beliau yang memancarkan kecemerlangan akademik
dan mutu kajian yang tinggi itu, Menteri Perindustrian Britain, Brian
Edden menawarkan Najmil peluang seumur hidup untuk membentangkan hasil
kajian Najmil di House of Common.
Menurut Najmil lagi, sepanjang menuntut dan menjalankan penyelidikan itu,
beliau mendapat banyak bimbingan dan nasihat daripada tenaga pengajar di
universitinya selain sokongan rakan-rakan. Beliau terpilih untuk membuat
pembentangan itu hasil daripada perakuan universitinya.
Beliau berhasrat untuk mengembangkan hasil kajian beliau di Malaysia agar
Malaysia dapat bersaing dengan negara lain menjelang 2020.
Beliau dijangka pulang ke tanah air pada Mac tahun depan untuk muncul
sebagai salah seorang rakyat Malaysia termuda memiliki PhD, sekaligus
memulakan kerjaya barunya sebagai pensyarah di Kolej Universiti Teknologi
Tun Hussein Onn (KUiTTHO) di Batu Pahat, Johor. Beliau berazam untuk
berkongsi pengetahuan dan teknologi yang dikumpulkannya sejak berada di UK
dengan rakyat Malaysia termasuk pelajar-pelajar KUiTTHO apabila kembali ke
tanah air sebagai seorang pensyarah. Memegang pepatah Melayu, ``Hujan emas
di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'', Najmil menolak ganjaran
tinggi yang ditawarkan oleh industri di UK.
Najmil Faiz Mohamed Aris adalah contoh intelek muda negara yang mampu
mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau mungkin tidak
boleh menyanyi dengan 'pitching' yang elok mahupun menjanjikan persembahan
naynyian yang baik, namun beliau patut menjadi pujaan anak-anak dara dan
ibu-ibu sebagai calon suami dan menantu, idola kepada para pelajar dan
ibubapa yang mengecapi keselesaan hidup. Sedangkan beliau yang susah boleh
berjaya, mengapa tidak kita terutamanya yang membaca artikel ini di jiwang.org?
Anehnya ketika Najmil berjuang untuk kecemerlangan diri dan bangsanya,
ramai orang muda langsung tidak memikirkan soal agenda bangsa. Mereka
lebih kelihatan dilanda keasyikan untuk pencarian bakat nyanyian.
Mendorong makin ramai remaja Melayu di bangku sekolah lagi sudah
berlumba-lumba mahu menjadi penyanyi, bukannya pakar matematik dan sains.
Seolah-olah hiburan menjadi agenda lebih penting.
Najmil Faiz adalah seorang idola yang tidak boleh di-AFSINGKIR-kan
daripada hidup kita sebagai rakyat Malaysia .
Disesuai dan diubahsuaikan dari:
- Najmil buka mata industri UK kebolehan rakyat kita, Utusan Malaysia
23/03/2005
- Prof. Diraja Ungku Aziz terima `Anugerah Melayu Terbilang', Utusan
Malaysia 12/05/2005
- Najmil Faiz azam kembang teknologi Nano, Utusan Malaysia 16/07/2005
- Antara realiti dan fantasia, Mingguan Malaysia 31/7/05
See more
See less
hidup ini seperti roda... kadang di atas, kadang di bawah... semuanya menguji sejauh mana pergantungan kita padaNya..