URUTAN bayi diiktiraf pelbagai bangsa dan negara di dunia sejak turun temurun sebagai terapi sentuhan terbaik, malah kebaikan terapi sentuhan ini juga diakui secara saintifik.
Urutan bayi kini menjadi teknik popular kerana kebaikannya dari segi perubatan, fisiologi dan emosi. Sentuhan lembut yang diberikan kepada si kecil yang comel boleh menggalakkan pertambahan berat dan koordinasi otot badan bayi, di samping merangsang sistem ...
" Oleh DR ASMUNNI YAHYA
(Pakar Perunding Paediatrik)
URUTAN bayi diiktiraf pelbagai bangsa dan negara di dunia sejak turun temurun sebagai terapi sentuhan terbaik, malah kebaikan terapi sentuhan ini juga diakui secara saintifik.
Urutan bayi kini menjadi teknik popular kerana kebaikannya dari segi perubatan, fisiologi dan emosi. Sentuhan lembut yang diberikan kepada si kecil yang comel boleh menggalakkan pertambahan berat dan koordinasi otot badan bayi, di samping merangsang sistem pengedaran darah yang dapat memberi kebaikan kepada jantung, pernafasan dan sistem perkumuhan.
Kaedahnya mudah dan bahan yang boleh digunakan juga murah, tertakluk kepada pilihan ibu bapa sendiri. Urutan untuk si kecil ini boleh menggunakan minyak atau losyen bayi.
Ia membabitkan urutan di seluruh anggota badan bayi menggunakan sentuhan yang sederhana kuat (cukup untuk mengubah warna kulit bayi dari merah ke cerah). Seelok-eloknya ia dilakukan secara berulang-ulang selama 15 minit selepas mandi atau sebelum tidur.
Sebaik-baiknya, urutan ini dilakukan ketika bayi dalam keadaan selesa dan tidak lapar kerana bayi mempunyai jangkamasa penumpuan yang pendek.
Bagaimanapun, pastikan tangan kita dibasuh bersih dan kuku dipotong pendek sebelum melakukan urutan kepada bayi anda kerana kulit bayi sangat halus dan sensitif.
Ada pelbagai kajian saintifik dijalankan ke atas urutan bayi dan semuanya membuktikan kaedah ini boleh mengekalkan kulit cantik bayi yang halus dan lembut.
Lebih penting, urutan ini juga boleh mengurangkan masalah kembung perut dan sembelit yang kerap dialami bayi.
Kajian yang dijalankan di Touch Research Institute di Miami, Florida mendapati urutan bayi boleh memperkuatkan sistem imun (pertahanan badan) bayi.
Kajian itu juga mendapati, bayi yang diurut mempunyai bilangan sel NK (sejenis kumpulan sel darah putih yang dapat bertindak ke atas sel-sel barah) yang lebih tinggi berbanding bayi yang tidak diurut.
Implikasi positif
Ini boleh memberi implikasi positif terhadap bayi yang mempunyai masalah barah atau Aids. Kajian lain menunjukkan bayi yang disentuh dan diurut memiliki paras immunoglobulin lebih tinggi yang berfungsi mempertahankan bayi terhadap penyakit berjangkit.
Kajian terbaru juga mendapati urutan boleh membantu bayi membentuk ritma tidur-jaga yang teratur. Ia boleh memendekkan masa untuk bayi terlelap dan mengurangkan masalah terjaga malam.
Tidur umpama sumber makanan untuk bayi. Hormon yang menggalakkan tumbesaran dan perkembangan bayi dirembeskan, terutama ketika fasa tidur nyenyak (deep sleep).
Jika fasa berkenaan terganggu, bermakna proses tumbesaran bayi juga terganggu.
Malah, urutan dan sentuhan ini juga memberi faedah kepada si ibu. Ketika menyentuh dan menjaga bayinya, badan wanita akan merembeskan hormon prolaktin yang dapat membantu penghasilan susu ibu.
Secara psikologinya, sentuhan ini akan membuatkan perasaan ibu lebih terjamin kerana dapat menyumbang sesuatu yang penting kepada bayinya. Ini secara tidak langsung dapat merapatkan kemesraan ibu terhadap si anak.
Walaupun urutan bayi banyak kebaikannya, ia tidak boleh dilakukan jika bayi anda ada masalah kulit seperti luka atau melecet, jangkitan kulit, tulang patah, luka akibat kebakaran dan bengkak atau benjol di badan yang belum diperiksa oleh doktor.
Teknik urutan bayi boleh dipelajari melalui doktor kanak-kanak anda. Setiap sentuhan yang dilakukan dapat memanfaatkan bayi anda. Oleh itu, lakukan dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan perhatian.
Urutan dimulakan di bahagian dada, depan badan, kaki (berguling) dan belakang secara berulang alik.
Urutan bayi seronok dilakukan. Berkomunikasilah dengan bayi anda setiap kali sentuhan diberikan kerana walaupun si kecil belum memahami kata-kata anda, ia sebenarnya mempunyai manfaat besar; boleh merangsang deria sentuhan, penglihatan dan pendengaran bayi anda. "