Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannya.
Agama Islam adalah agama yang paling pesat berkembang sekarang ini. Semakin ramai manusia yang terbuka hatinya untuk menerima Islam. Alhamdulillah. Kita bersyukur kepada Allah atas nikmat ini dan kita berdoa agar Islam terus kuat dan kukuh. Akan tetapi, perkembangan pesat ugama Islam ini seiring dengan meningkatnya tuduhan-tu...
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannya.
Agama Islam adalah agama yang paling pesat berkembang sekarang ini. Semakin ramai manusia yang terbuka hatinya untuk menerima Islam. Alhamdulillah. Kita bersyukur kepada Allah atas nikmat ini dan kita berdoa agar Islam terus kuat dan kukuh. Akan tetapi, perkembangan pesat ugama Islam ini seiring dengan meningkatnya tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang dilontarkan kepada ugama Islam, agar menakut-nakutkan orang dari memahami dan memeluk agama Islam, dan memburukkan imej Islam. Antara perkara yang gemar ditimbulkan oleh mereka yang bermusuhan terhadap Islam adalah kedudukan wanita dalam Islam.
Mereka selalu mengatakan bahawa Islam menindas kaum wanita, bahawa Islam adalah ugama kaum lelaki yang menzalimi kaum wanita. Persepsi negatif ini disebarkan oleh mereka sehinga ada sebahagian umat Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut, sehinggakan ada yang merasa malu untuk berbangga dengan ugama suci Islam ini.
Mereka lupa bahawa Islam adalah ugama yang mengangkat darjat wanita. Sebelum diutusnya Rasulullah s.a.w dengan ugama yang suci ini, kaum wanita tidak mempunyai hak-hak kemanusiaan. Selain tanggungjawab mereka sebagai pemuas nafsu kepada sang lelaki, mereka tidak berhak untuk keluar rumah. Jika kaum wanita mendatangkan kemarahan kepada si suami, mereka akan dibunuh serta ditanam hidup-hidup tanpa ada rasa simpati. Begitu juga berlakunya kepada anak-anak perempuan mereka.Anak-anak perempuan dianggap seperti satu musibah yang memberi malu kepada keluarga. Penghinaan ini jelas mengambarkan betapa bencinya seorang ayah apabila mendapat anak perempuannya sehingga tergamak dia membunuh anaknya hidup-hidup. Ini telah digambarkan oleh Al-Quran dalam surah An-Nahl ayat 58:
Ertinya: Dan apabila seseorang dari mereka di beri khabar dengan kelahiran anak perempuan, merah padamlah mukanya dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup) ? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.
Saudara-saudara sekelian,
Islam adalah satu-satunya agama yang datang dengan membawa perubahan yang sangat mendalam pada diri penganutnya. Islam memelihara maruah dan mengangkat darjat wanita dan mereka diberi hak-hak tertentu agar mereka tidak dipandang hina. Sebelum kedatangan Islam, wanita tidak berhak mewarisi harta pusaka, mereka tidak berhak memilih suami dan mereka tidak berhak atas banyak perkara. Sehinggakan wanita tiada hak untuk mengundi. Ini berlaku di banyak negara, termasuk negara-negara yang dianggap maju sekarang ini. Hanyalah baru pada abad ini yang wanita diberi hak mengundi. Tetapi Islam telah lebih awal memberikan hak tersebut kepada wanita. Islam datang mengubah segala kezaliman dan kekejaman terhadap wanita. Islam memberi wanita hak mewarisi harta pusaka. Islam memberi mereka pilihan untuk memilih pasangan suami mereka. Islam memberi wanita hak untuk mengundi. Sebagai bukit, Rasulullah s.a.w bukan sahaja menerima bai'at dari kaum lelaki, beliau juga menerima bai'at dari kaum wanita. Begitu besar penghargaan yang diberikan oleh Islam terhadap wanita.
Tetapi mereka yang tidak faham akan Islam mengatakan bahawa Islam menindas wanita. Mereka menuduh bahawa menutup aurat bagi kaum muslimah adalah melanggar kebebasan wanita berpakaian dan ini secara tidak langsung akan membataskan pergerakkan mereka. Mereka juga menuduh bahawa tiada keadilan dalam hukum faraidh apabila lelaki mendapat dua kali ganda bahagian wanita. Apabila Islam mengkhususkan kuasa talak, memerintah negara dan juga memimpin rumahtangga bagi lelaki, mereka menuduh bahawa Islam tidak memberi kebebasan terhadap wanita. Apabila Islam membolehkan lelaki berkahwin lebih dari satu isteri, mereka menuduh Islam sebagai agama yang tidak adil.
Inilah tuduhan-tuduhan yang biasa dilontarkan kepada Islam, untuk memburukkan imej Islam dan meracuni pemikiran orang-orang Islam. Maka tidak hairan ada sebahagian orang Islam yang tidak suka dikenali sebagai orang Islam. Mereka lebih senang menjalankan kehidupan mereka seperti orang-orang bukan Islam.
Sebagai orang Islam, kita mesti tahu apakah tujuan Islam meletakkan batas-batas tertentu terhadap wanita. Mengapakah Islam memberikan tanggung-jawab yang lebih kepada lelaki. Kita mesti tahu ini agar kita sedar bahawa Islam bukanlah agama yang menindas kaum wanita. Islam tidak pernah memutuskan sesuatu hukum dengan berat sebelah. Kalaulah tidak kerana Islam maka wanita masih lagi menjadi hamba kaum lelaki yang ingin mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang ada pada diri kaum wanita.
Mendedah aurat adalah salah satu punca di mana kaum wanita sering menjadi daya tarikan lelaki dan punca dari segala maksiat. Perintah menutup aurat bagi kaum wanita serta faedahnya ada disebut di dalam surah Al-Ahzab ayat 50:
Ertinya: Wahai Nabi Muhammad! Katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita orang-orang mukmin supaya melabuhkan jilbab mereka( bagi menutup dada mereka) Dengan itu mereka akan lebih mudah dikenali (sebagai orang-orang yang memelihara diri dan kehormatan mereka ) maka dengan itu mereka tidak akan diganggu.
Betapa tingginya penghormatan yang Islam berikan kepada wanita apabila mereka menutup aurat maka penghormatan mereka di jaga dan keselamatan mereka di pelihara. Pakaian yang menutup aurat ini bukanlah sebagai penghalang kepada kebebasan dan kemajuan. Wanita Islam bebas bergerak mengikut batasan yang di tetapkan. Isteri-isteri Rasullullah dan juga isteri para sahabatnya masih lagi boleh pergi berjihad dan menunggang kuda dengan menutup aurat.Ini menandakan bahawa pakaian muslimah itu sesuai pada setiap masa dan zaman.Menutup aurat ini adalah ciri-ciri yang melambangkan kesopanan dan harga diri yang tinggi.
Saudara-saudara sekelian,
Sekarang ini semakin ramai wanita Islam yang menutup aurat mereka. Ini satu perkara yang patut dibanggakan kerana wanita-wanita tersebut melambangkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap Islam dan kebanggan yang meraka rasakan sebagai orang Islam. Tetapi dalam masa yang sama juga, masih ramai dikalangan masyarakat Islam yang leka dan lalai daripada menutup aurat mereka. Malah, lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja membuka aurat mereka, tetapi mempergayakan kecantikan tubuh badan mereka di hadapan khalayak ramai tanpa segan silu lagi. Semakin kuat tekanan dan pengaruh agar wanita mendedahkan seberapa banyak aurat mereka di khalayak ramai. Maka saya ingin bertanya: Mengapa mereka begitu berani membuka aurat mereka? Mengapa sebahagian anak-anak perempuan dan isteri-isteri kita merasa begitu berat untuk menutup aurat?
Jawapannya dua. Pertama mereka tidak dididik dari kecil lagi untuk menutup aurat. Sebahagian dari kita kaum bapa tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap cara anak-anak perempuan kita berpakaian. Kita merasakan bahawa yang penting adalah pelajaran mereka dan kesihatan fizikal mereka. Dan kita serahkan kepada diri anak-anak perempuan kita untuk menutup aurat atau tidak. Kita serahkan kepada isteri-isteri kita samada untuk memakai tudung menutup aurat rambut mereka atau tidak. Adakah ini seorang ketua keluarga yang bertanggung-jawab? Tidakkan sampai kepada kita peringatan dari Rasulullah s.a.w bahawa lelaki yang tidak berdaya untuk menahan anak-anak perempuannya dan isterinya daripada memperagakan tubuh badan mereka kepada lelaki-lelaki di tengah jalan, dia ini adalah seorang dayus? Tidakkah mereka tahu bahawa dengan mendiamkan diri apabila anak isteri kita membuka aurat adalah bukti bahawa mereka adalah dayus? Dan orang dayus tidak akan dapat mencium bau Syurga, walaupun dia solat, puasa, mengeluarkan zakat dan pergi haji. Walaupun dengan amalan setinggi gunung pun, dia tetap akan diseret ke neraka atas sebab perbuatan anak isterinya. Adakah kita mahu menjadi lelaki dayus? Tentulah tidak! Adakah kita mahu menjadi ketua keluarga yang lemah? Tentulah tidak!
Maka kembalilah kepada ajaran Islam. Jagalah aurat anak isteri kita. Kita bertanggung-jawab dihadapan Allah kelak. Jadilah ketua keluarga yang kuat, yang melarang anak isteri mereka dari melakukan maksiat. Semoga kita diberi kekuatan untuk menjalankan tanggung-jawab kita ini.
Baarakallah....
"Udep Sare Mati Syahid"
memang jika anak-anak tidak dididik dari kecil untuk menutup aurat ...
bila dah besar dan berkerjaya terikut2 budaya asing .....
saper yang patut dipersalahkan? ...