Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t, dengan sebenar-benar taqwa, dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, mudah-mudahan kita diberikan rahmat dengan ketaqwaan kita dan mencapai tahap kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang mulia,
Al-Quranul Karim merupakan mukjizat yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Ia merupakan mukjizat yang terbesar dan yang termuli...
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t, dengan sebenar-benar taqwa, dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, mudah-mudahan kita diberikan rahmat dengan ketaqwaan kita dan mencapai tahap kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang mulia,
Al-Quranul Karim merupakan mukjizat yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Ia merupakan mukjizat yang terbesar dan yang termulia, yang ditinggalkan untuk umatnya sebagai panduan hidup kita. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang agung, kerana pada bulan ini Allah s.w.t telah menurunkan kitabnya iaitu Al-Quranul Karim Kalamullah. Kitab yang agung lagi mulia. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah ayat 185:
Yang bermaksud: "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan membezakan antara yang hak dengan yang batil "
Dari ayat yang dibacakan tadi jelas menunjukkan pada kita bahawa kitab suci Al-Quranul Karim ini bertujuan untuk membawa petunjuk kepada umat manusia, agar mereka terselamat dari kesesatan, dan tidak selama-lamanya tenggelam di dalam kebatilan, disamping itu memberi kita ketenangan dan penghayatan apabila kita membacanya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kitab suci Al-Quran ini, pembacaannya bukan sahaja sebagai suatu ibadat yang diberi ganjaran oleh Allah s.w.t, akan tetapi isi kandugan yang tersusun dalam gubahan kata-kata yang indah mempunyai makna-makna yang mendalam. Semakin kita mendalami Al-Quran yang mulia ini semakin luas isinya bagaikan sebuah lautan yang tidak bertepi. Ini kerana di dalam Al-Quran itu sendiri terdapat banyak ilmu-ilmu seperti ilmu sains, kedoktoran, cakerawala dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Kitab yang para ulama tidak jemu-jemu mencedok dan menimba ilmu daripadanya, tidak dibosani oleh mereka yang bertaqwa kepada Allah s.w.t membaca, menatap dan merenung isi."
Terdapat banyak ilmu-ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran Al-Karim yang sentiasa dikaji sepanjang zaman. Adakah kita mempelajarinya? Adakah kita membacanya walaupun satu ayat dalam sehari? Adakah kita mengambil pengajarannya? Saya mengingatkan diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang ini dengan membaca Al-Quran. Insya Allah kita akan diberi ganjaran pahala dan nikmat dari Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Pendekatan kita terhadap Al-Quran bergantung kepada inisiatif diri kita sendiri. Pelbagai kelebihan Al-Quran yang boleh kita perolehi antaranya ialah ketenangan yang dirasai apabila membacanya sekalipun kita tidak tahu maknanya dan lebih-lebih lagi apabila kita ketahui maknanya, tentunya lebih terasa akan nikmat Al-Quran kitab suci yang agung ini.
Ini dapat kita lihat dari hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ad-Darimy:
"Bacalah Al-Quran kerana Allah s.w.t tidak mengazabkan hati yang menyimpan Al-Quran. Dan sesungguhnya Al-Quran ini adalah jemputan Allah. Siapa yang mendatanginya maka ia akan merasa keamanan. Dan sesiapa yang cinta akan Al-Quran maka bergembiralah."
Dengan membaca Al-Quran kita dapat memelihara diri kita, keluarga, isteri dan anak-anak kita dari gangguan dan godaan syaithan. Ini termasuklah godaan dari luaran yang boleh mempengaruhi diri anak-anak kita seperti hiburan, muzik, berpesta, melepak, pergaulan bebas dan sebagainnya. Dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran dan mempelajari isinya seperti ilmu tafsir, tajwid, ulum quran, ilmu qiraat dan sebagainya, InsyaAllah dapat melindungi diri kita, anak-anak dan keluarga kita dari perkara yang mungkar, yang tidak diredhai Allah s.w.t.
Dorongan dan galakan dari ibu bapa dapat menimbulkan minat anak-anak kita untuk membaca Al-Quran. Dan lebih afdal lagi sekiranya kita juga ikut sama membaca dan mengajarkan anak-anak kita. Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Bukhari:
Ertinya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."
Dalam hadith yang lain pula Muaz Juhani meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, kedua ibu bapanya akan dipakaikan dengan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Sidang Jumaat Sekalian,
Al-Quranul Karim dapat menolong kita di akhirat kelak. Ia dapat memberi syafaat kepada hamba Allah yang sentiasa membaca Al-Quran dan menjadi teman sejati kita di alam kubur. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Bacalah olehmu Al-Quran, sesungguhnya ia akan menjadi syafaat pada hari kiamat bagi para pembaca Al-Quran" (Hadith riwayat Muslim)
Dari itu, saudara-saudara sekelian, marilah sama-sama kita membaca Al-Quran pada hari-hari yang mendatang. Sesungguhnya pahala bagi orang yang membaca Al-Quran adalah amat besar sekali. Dengarlah sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Tarmizi:
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka akan diberikan satu kebajikan, dan setiap kebajikan akan digandakan sebanyak sepuluh kali ganjaran pahala. Aku tidak berkata bahawa Alif.. Lam... Mim... sebagai satu huruf tetapi Alif adalah satu huruf, Lam adalah satu huruf dan Mim adalah satu huruf".
Rajinlah baca Al-Quran, walaupun kita tidak memahaminya kerana Al-Quran itu adalah syifa' atau penyembuh bagi segala penyakit zahir dan bathin. Dan Al-Quran adalah rahmat bagi orang-orang mukmin. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 82:
Ertinya: Dan kami (Allah) turunkan Al-Quran ini sebagai penyembuh dan rahmat bagi orang-orang mukmin. Dan tidaklah rugi kecuali orang-orang yang zalimi.
"Udep Sare Mati Syahid"
qaterunnada@yahoo.com