Dalam kita mengejar kemewahan dunia ini, kita tidak harus lupa satu aspek yang amat penting. Suatu aspek yang menentukan kebahagian kita di dunia dan akhirat. Apakah aspek tersebut? Ia adalah aspek rohani. Rohani kita yang menjadi penggerak dan penentu keperibadian kita. Walaupun seseorang itu kaya raya dan sihat sejahtera, tetapi jika rohaninya tidak sihat, maka ia tercermin dan tergambar dalam akhlaknya yang buruk. Walaupun seorang itu ternama di dunia ini, tetapi jika rohaninya sudah mati, ma...
Dalam kita mengejar kemewahan dunia ini, kita tidak harus lupa satu aspek yang amat penting. Suatu aspek yang menentukan kebahagian kita di dunia dan akhirat. Apakah aspek tersebut? Ia adalah aspek rohani. Rohani kita yang menjadi penggerak dan penentu keperibadian kita. Walaupun seseorang itu kaya raya dan sihat sejahtera, tetapi jika rohaninya tidak sihat, maka ia tercermin dan tergambar dalam akhlaknya yang buruk. Walaupun seorang itu ternama di dunia ini, tetapi jika rohaninya sudah mati, maka tiada tempat baginya di Syurga kelak. Maka rohani adalah satu aspek yang penting, malah lebih penting dari jasmani.
Kita memberi kemewahan dan kelazatan kepada jasmani kita. Kita memberikan jasmani kita pakaian yang cantik-cantik dan mahal-mahal. Tetapi adakah kita juga memberikan rohani kita pakaian yang cantik-cantik? Atau adakah kita memberikan rohani kita pakaian yang koyak-rabak? Apakah pakaian yang cantik bagi rohani kita? Dengarlah firman Allah dalam surah Al-'Araf, ayat 26 yang berbunyi:
Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah supaya mereka mengingatinya.
Saudara-saudara sekelian, itulah pakaian yang terbaik bagi rohani kita, iaitu pakaian taqwa. Dan setiap Jumaat kita diperingatkan agar beratqwa kepada Allah. Tidakkah sudah sampai masanya kita bersungguh-sungguh bertaqwa kepada Allah?
Saudara-saudara sekelian, kebanyakkan dari kita tidak berasa cukup dengan kemewahan yang ada. Kita mahu jasmani kita merasai kehidupan yang mewah. Kita hendak menjadi lebih kaya lagi. Ini tidak bertentangan dengan Islam. Malah Islam menyuruh umatnya agar menjadi umat yang kuat, dalam semua sudut. Carilah kekayaan. Kejarlah kemajuan. Jadilah umat yang kaya, bukan umat yang papa. Kerana kemiskinan hampir-hampir boleh membawa kepada kekufuran. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita akan hal ini dalam hadith beliau:
Ertinya: Hampir-hampir kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran.
Tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh lupa akan rohani kita. Rohani kita juga perlu merasai kemewahan dan kelazatan. Tetapi bukan kemewahan dan kelazatan material. Rohani kita perlu merasai kemewahan Iman dan ilmu serta kelazatan beramal. Tiga perkara ini: iman, ilmu dan amal. Itulah santapan rohani kita. Tiga perkara ini berkait-rapat antara satu sama lain. Tidak lengkap iman seseorang tanpa amal soleh. Dan seseorang tidak dapat beristiqamah melakukan amal soleh kecuali dia dapat merasakan kelazatan beramal. Dan kelazatan beramal datang dari ilmu dan kesungguhan.
Amal seseorang adalah cermin bagi iman yang berada dalam hatinya. Amal yang kurang dan akhlak yang buruk mencerminkan kekurangan iman dalam hatinya. Manaklah kerajinan melakukan amal ibadat dan akhlak yang mulia mencerminkan iman yang tinggi dalam hatinya. Iman boleh naik dan turun. Iman boleh bertambah dan berkurang. Maka bagaimana kita hendak menjadi orang yang tinggi imannya? Apakah ciri-ciri orang yang beriman? Dengarlah firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah, ayat 112:
Ertinya: Orang-orang yang suka bertaubat, yang rajin beribadat, yang bertahmid mensucikan Allah, yang suka berpuasa, yang selalu ruku dan sujud, yang menyuruh kebaikan dan meralang kemungkaran dan yang menjaga hukum-hukum Allah. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang mukmin.
Inilah ciri-ciri orang yang beriman. Mereka sentiasa meminta ampun dari Allah, bertaubat dari segala dosa-dosa mereka. Mereka berzikir mengingati Allah, mereka rajin berpuasa, bukan sahaja yang wajib, malah yang sunat juga, mereka gemar mendirikan solat, mereka melakukan amar ma'ruf nahi munkar, dan mereka menjada segala hukum-hukum Allah. Mari kita cuba ukur diri kira. Adakah kita juga mempunyai sifat-sifat demikian?
Orang-orang yang hidupkan rohani mereka dengan amal-amal kebaikan seperti yang saya nyatakan tadi akan merasai kelazatan beribadat. Apabila seseorang itu dapat merasakan kelazatan beribadat, dia akan sentiasa ingin melakukan ibadat tersebut. Seperti mana seseorang yang sudah merasai kelazatan makanan, akan suka terhadap makanan tersebut. Akan tetapi kelazatan beribadat adalah lebih dari kelazatan lain di dunia ini. Kelazatan dunia ini akan segera menyebabkan orang jemu dan mual. Jika seseorang diberikan makan kegemarannya setiap hari, akhirnya akan hilang kelazatan makanan tersebut dan digantikan dengan perasaan jemu dan bosan. Sebaliknya, kelazatan beribadat adalah anugerah dari Allah. Seseorang yang dapat merasai kelazatan beribadat tidak akan merasai jemu dan bosan. Malah dia akan sentiasa ingin melakukan ibadat tersebut agar sentiasa dapat merasai kelazatan ibadat tersebut. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa antara tanda-tanda amal ibadat seseorang itu diterima oleh Allah adalah apabila dia semakin gemar hendak melakukan amal ibadat tersebut.
Marilah kita renung sejenak, apakah amalan ibadat kita yang ktia gemar melakukannya. Adakah solat? Adakah puasa? Adakah bersedekah? Adakah membaca Al-Quran? Adakah mempelajari hukum-hukum Allah? Adakah berzikir? Kita mesti mempunyai satu amalan yang kita gemar melakukannya dan dapat merasai kelazatannya. Akan tetapi, malang sekali jika tiada satu pun amalan ibadat yang kita gemari. Ia bermakna tiada satu amalan kita yang ikhlas dan diterima Allah. Segala amalan tersebut adalah seperti debu-debu yang berterbangan ditiup angin, wal 'iyadzubillah min dzalik.
Saudara-saudara sekelian,
Setiap orang ada kecenderungan masing-masing terhadap melakukan ibadat. Carilah kencenderungan kita dalam satu-satu ibadat. Apabila kita telah mendapatinya, maka pupuk lah dia. Rajin-rajin lah melakukan ibadat tersebut. Sebagai contoh, sekiranya kita gemar melakukan solat witir, maka lakukannya setiap malam. Iltizam dan istiqamah dalam ibadat tersebut. Sesungguhnya amal yang sedikit tetapi yang berterusan adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi tidak berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Amal yang paling disukai oleh Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit.
-MUIS
"Udep Sare Mati Syahid"
Tunjukkan kami jalan yang lurus...