Hari esok adalah hari ke dua-belas, bulan Rabiul Awal. Hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Masyarakat Islam menyambut hari keputeraan tersebut dengan berbagai cara. Ada yang membaca kisah baginda melalui pembacaan maulid-maulid nabi seperti berzanji dan dibai'. Ada yang menyambutnya dengan mengadakan syarahan-syarahan agama dan memberikan makan kepada orang ramai. Ini semua menunjukkan betapa cintanya kita kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w, penutup segala nabi dan rasul ...
Hari esok adalah hari ke dua-belas, bulan Rabiul Awal. Hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Masyarakat Islam menyambut hari keputeraan tersebut dengan berbagai cara. Ada yang membaca kisah baginda melalui pembacaan maulid-maulid nabi seperti berzanji dan dibai'. Ada yang menyambutnya dengan mengadakan syarahan-syarahan agama dan memberikan makan kepada orang ramai. Ini semua menunjukkan betapa cintanya kita kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w, penutup segala nabi dan rasul dan seorang kekasih Allah.
Dalam kita menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dan bergembira dengannya, janganlah kita lupa akan tujuan sebenar diutus Nabi Muhammad ke dunia ini, iaitu sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Anbiya' ayat 107:
Ertinya:"Dan tidak Aku (Allah) mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat kepada seluruh alam".
Beliau membawa rahmat Allah kepada manusia dengan menyebarkan syiar Islam, ugama yang diredhai oleh Allah dari semenjak zaman Nabi Adam a.s. lagi. Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran, ayat 19:
Yang bermaksud:"Sesungguhnya agama (yang diterima) disisi Allah adalah Islam".
Tidak syak lagi bahawa Islamlah ugama yang paling lengkap dan syumul. Tidak ada ugama lain yang selengkap Islam. Tidak ada ugama lain yang menerangkan kepada penganutnya cara hidup yang lengkap, duniawi dan ukhrawi. Islam menerangkan kita bagaimana mencapai ketenangan jiwa, bagaimana berinteraksi dengan manusia dan bagaimana berinteraksi dengan alam sekeliling.
Sebelum kedatangan Islam, manusia hidup dalam kegelapan. Manusia tidak mengenal Allah. Manusia berlaku zalim antara satu sama lain. Kaum wanita ditindas, bahkan mereka diperlakukan sebagai barangan, bukan sebagai manusia. Wanita boleh diperdagangkan dan diwarisi. Menipu dalam jual beli sudah menjadi kebiasaan. Arak menjadi minuman harian. Maka dalam kegelapan jahiliyah inilah, lahir seorang insan yang menjadi penyuluh, yang membawa cahaya Islam. Itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
Sekiranya kita melihat kehidupan Rasulullah s.a.w dan perjuangan beliau menegakkan ugama Islam di atas bumi ini, kita akan lihat bagaimana beliau menanggung berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan hanya untuk menjadikan ugama Islam diterima oleh manusia. Inilah perjuangan dakwah yang sebenar-sebenarnya. Kesusahan dan penderitaan yang ditanggung beliau serta para sahabat beliau amat jauh lebih banyak dari kesusahan yang kita tanggung dalam menyampaikan dakwah Islam kepada orang lain. Kadang-kadang, apabila kita menegur sesuatu kemungkaran, kita dicemuh dan dicaci. Sekiranya kita merasa marah dan patah semangat, ingatlah bagaimana Rasulullah s.a.w juga dicaci dan dicemuh ketika beliau berdakwah kepada kaumnya. Bahkan beliau menanggung lebih banyak cacian dan penghinaan. Allah merakamkan sebahagian dari cacian dan tuduhan orang musyrik Quraisy dalam ayat 5 surah Al-Anbiya':
Yang bermaksud:"Bahkan mereka berkata bahawa (Al-Quran itu) adalah mimpi-mimpi karut belaka, malah diada-adakannya, bahkan dia (Rasulullah) adalah seorang pensyair. Maka hendaklah dia (Rasulullah) datangkan untuk kita satu mukjizat seperti mana rasul-rasul yang dahulu diutus."
Pernah satu ketika, sedang Rasullulah s.a.w sujud dihadapan Kaabah, datanglah seorang musyrik Quraisy meletakkan najis unta ditengkuk beliau. Tetapi beliau tetap bersabar dan tidak bangun dari sujudnya sehinggalah puteri beliau, Fatimah datang untuk mengangkat najis tersebut. Adakah kita juga boleh bersabar jika kita diperlakukan sedemikian?
Rasulullah s.a.w dihina apabila mengajak manusia agar mementingkan akhirat lebih dari dunia. Sekarang ini, para ulama yang menyampaikan mesej dan risalah yang sama, juga dihina dan dipandang rendah sebagai manusia yang tidak selari dengan perkembangan zaman teknologi. Manusia yang tidak mengikuti aspirasi ahli dunia. Mesej yang disampaikan adalah sama. Penghinaan yang diterima pun sama. Sejarah berulang kembali. Firman Allah di dalam surah Ali-Imran, ayat 140:
Ertinya:"Dan itulah hari-hari dimana kami ulangkan antara manusia, dan supaya Allah mengetahui siapa yang beriman dan agar Allah menjadikan sebahagian dari kamu sebagai orang-orang yang syahid dijalanNya" . Maka janganlah kita bersedih atau merasa marah apabila kita menghadapi tentangan dan cemuhan dalam usaha menyampaikan dakwah Islam. Janganlah kita merasa kecil hati jika dipandang hina dan kolot apabila kita menegakkan syiar Islam. Ketahuilah bahawa sesungguhnya dunia ini hanyalah sementara sahaja. Semua manusia akan mati. Dan pada hari akhirat nantilah kita akan diperhitungkan. Dan ketika itulah kesabaran dan kecekalan hati kita dalam menyampaikan dakwah Islam akan diberi ganjaran oleh Allah. Ketika itulah mereka yang mendustai Islam dan menghina mereka yang mengajak manusia kembali kepada Islam, akan menyesal. Mereka akan berkata sepertimana yang dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Furqan, ayat 27 hingga 29, yang berbunyi:
Ertinya: "Dan pada hari tersebut, orang-orang yang zalim akan menggigit kedua-dua tangannya (kerana marahkan diri sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengikuti jejak Rasulullah? Alangkah buruknya nasib aku ini. Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil orang lain menjadi sahabat karib aku! Kerana sesungguhnya dia telah menyesatkan aku selepas sampai peringatan kepada aku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia".
Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan manusia seperti ini.
-MUIS
"Udep Sare Mati Syahid"
Gelaran yang terpuji
Nikmat Illahi sama disyukuri
Terima putera berbakti....
"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."