Ramai pendakwah dan ahli-ahli fikir Islam berpendapat, debat dalam isu-isu agama dan ibadat tidak banyak faedah yang boleh didapati kecuali jika ia dilangsungkan dengan etika debat yang tinggi, hormat-menghormati antara peserta dan dengan kekuatan ilmiah yang meyakinkan. Biasanya debat yang tidak dikawal oleh akhlak lebih banyak mengundang kepada perbalahan dan permusuhan yang merugikan.
Tidak dinafikan debat merupakan salah satu uslub yang sangat berkesan dalam menyebarkan Islam, dakwah dan...
Ramai pendakwah dan ahli-ahli fikir Islam berpendapat, debat dalam isu-isu agama dan ibadat tidak banyak faedah yang boleh didapati kecuali jika ia dilangsungkan dengan etika debat yang tinggi, hormat-menghormati antara peserta dan dengan kekuatan ilmiah yang meyakinkan. Biasanya debat yang tidak dikawal oleh akhlak lebih banyak mengundang kepada perbalahan dan permusuhan yang merugikan.
Tidak dinafikan debat merupakan salah satu uslub yang sangat berkesan dalam menyebarkan Islam, dakwah dan kebenaran, tetapi ia adalah langkah ketiga dan terakhir, iaitu setelah buntu jalan-jalan menggunakan pendekatan berhikmah dan nasihat pengajaran yang baik. Itupun hendaklah dilangsungkan dengan akhlak dan adab yang tinggi.
Sehubungan ini Allah berfirman yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik (al-Nahl: 125). Ayat ini meletakkan debat pada tempat terakhir, iaitu selepas pendekatan berkhidmat dan nasihat yang baik. Debat menjadi langkah terakhir, bukan kerana kurang berkesan atau tiada faedahnya, tetapi kerana kesukaran mematuhi aturan, akhlak, adab dan aturannya.
Mungkin ramai orang sedia berdebat, tetapi tidak ramai yang sedia patuh kepada akhlak dan adabnya. Diperhatikan kepada ayat di atas, ada dua perkataan yang disebut tatkala memperkatakan uslub atau gaya dakwah, iaitu mawizah (nasihat) dan jidal (debat). Kedua-duanya hendaklah dengan cara yang baik, malah jidal dikehendaki dengan cara terbaik.
Debat selalunya dirosakkan oleh ketiadaan ikhlas antara dua kumpulan yang terbabit. Pendebat selalunya inginkan kemenangan sekalipun ia tidak mempunyai hujah. Pendebat tidak sedia mengalah, sekalipun ternyata ia berada pada pihak yang salah. Pendebat akan memilih untuk berkata ya apabila lawan berkata tidak dan berkata tidak apabila lawan berkata ya.
Debat selalunya dikuasai oleh pihak yang handal bercakap, sekalipun tidak berisi. Keadaannya bagaikan dua pasukan pemain bola sepak yang masing-masing ada penyokong yang tidak pernah mengaku kalah sekalipun tidak pernah bermain. Kalaupun ada yang mengaku, tetapi hanya dalam gelanggang, di luarnya belum lagi. Begitulah debat yang tidak berakhlak dan biasa kita saksikan.
Antara akhlak atau etika debat yang perlu dipatuhi bagi menghasilkan natijah yang baik bahkan sekali gus debat disifatkan sebagai terbaik ialah:
-
Elakkan penggunaan bahasa yang rendah, tindakan yang kasar dan tidak menghormati pemikiran lawan. Jika perlu, adakan pengadil untuk mengadili perjalanan debat. Pengadil perlu diberi hak memberi kad kuning atau merah bahkan membuang padang mana-mana pendebat yang melanggar disiplin debat dan aturan.
-
Hendaklah lebih banyak mencari titik persamaan antara kedua-dua pihak. Kurangkan usaha mencari titik perbezaan ataupun abaikan langsung. Lebih banyak persamaan yang ditemui, lebih banyak hasil yang diperoleh. Tumpukan sepenuhnya kepada titik-titik persamaan.
Debat al-Quran yang berlangsung antara Nabi s.a.w. dengan Yahudi dan Nasara bahkan dengan kaum musyrikin menjadi sebaik-baik contoh untuk dipelajari disiplin, akhlak dan etikanya. Dikemukakan di sini debat antara Nabi dengan musyrikin dalam ayat 24-26 surah Saba' yang bermaksud:
Bertanyalah wahai Muhammad, siapa yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya ialah Allah. Sesungguhnya tiap-tiap satu golongan, sama ada kami atau kamu tetap di atas hidayat atau tenggelam dalam kesesatan. Katakanlah: Tuhan akan menghimpunkan kita semua pada hari kiamat, kemudian akan menyelesaikan krisis di antara kita dengan penyelesaian yang benar.
Debat nabi-nabi sememangnya beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah dalam ungkapannya boleh dicontohi pendakwah yang cintakan kebenaran. Tetapi sayang, sesetengah pendebat terkini menyimpang jauh daripada panduan nabi-nabi, mereka berdebat seolah-olah berperang. Segala isu yang berbangkit dalam dakwah, besar kemungkinan ada persamaannya dalam politik.
Artikel di atas dipetik dari ruangan forum BicaraMuslim.com
Manusia yang tidak ada masalah dalam hidupnya bukanlah dinamakan manusia, tetapi 'robot bernyawa' yang telah diprogramkan.