SUBANG JAYA: Helah seorang ejen kad gores dan menang bukan saja gagal malah menjerat diri sendiri apabila mangsa yang ingin diperdaya sebenarnya anggota polis berpakaian awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, tiga anggota polis berpakaian awam membuat rondaan di Puchong Jaya, di sini, dihampiri seorang remaja yang menawarkan kad gores dan menang menggunakan umpan hadiah bernilai sehingga RM100,000.
Sebaik kad dibuka, remaja itu bersorak dan mengucapkan tahniah kononny...
SUBANG JAYA: Helah seorang ejen kad gores dan menang bukan saja gagal malah menjerat diri sendiri apabila mangsa yang ingin diperdaya sebenarnya anggota polis berpakaian awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, tiga anggota polis berpakaian awam membuat rondaan di Puchong Jaya, di sini, dihampiri seorang remaja yang menawarkan kad gores dan menang menggunakan umpan hadiah bernilai sehingga RM100,000.
Sebaik kad dibuka, remaja itu bersorak dan mengucapkan tahniah kononnya mangsa berjaya mendapat hadiah barangan elektrik.
Bagi meyakinkan mangsa, remaja terbabit mempelawa mereka ke pejabatnya tidak jauh dari tempat itu bagi mendapatkan hadiah yang ditawarkan.
Mangsa yang datang ke pejabat kemudiannya ditawarkan membuat cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah lebih istimewa seperti Proton Perdana V6, Waja dan Kancil.
Malah, ejen itu mendakwa ramai pelanggannya sudah berjaya memenangi pelbagai hadiah menarik dengan menunjukkan gambar pemenang selain iklan mereka yang kononnya disiarkan di akhbar.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhd Fuad Talib, berkata sebaik tiba di pejabat ejen itu, tiga anggota polis berkenaan diminta membayar sejumlah wang daripada seorang lelaki sebelum menuntut hadiah.
“Lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu meminta ‘mangsa’ membayar sebanyak RM2,897 kononnya harga barangan terbabit selepas diberi diskaun istimewa.
“Dia mendakwa ‘mangsa’ akan rugi jika menolak harga istimewa itu kerana nilai asalnya lebih RM5,000,†katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.
Beliau berkata, anggota polis berkenaan turut dipelawa membuat cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah lebih menarik seperti kereta, motosikal dan barangan elektrik.
“Menyedari helah yang digunakan jurujual terbabit, anggota polis berkenaan menghubungi Balai Polis Puchong Jaya,†katanya.
Menurutnya, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Wan Mohamad Ali kemudian membuat serbuan di premis terbabit kira-kira jam 12.45 tengah hari.
“Polis kemudian menahan enam pekerja termasuk seorang penyelia lingkungan usia 15 hingga 22 tahun selain merampas 79 kad yang belum digores dan 60 sudah digores,†katanya.
Muhd Fuad berkata, polis akan merujuk kes itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan sama ada ia mempunyai lesen untuk beroperasi.
“Kes ini turut akan disiasat mengikut Seksyen 420/5(11) Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,†katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan janji manis jurujual yang meminta mereka membuat cabutan bertuah.